Tiada bincang PRU awal dalam MT UMNO, kata Ismail Sabri

Fokus Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung malam tadi tertumpu kepada isu berhubung Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU) yang berlangsung esok, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri semasa ditanya wartawan yang menunggu mesyuarat tersebut berakhir menjawab ringkas ‘tiada’ apabila ditanya berhubung sama ada terdapat isu berhubung gesaan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) disegerakan, ia susulan timbul desakan dalam perbahasan sayap UMNO yang berlangsung semalam.

“Ia berkenaan usul dan laporan daripada wakil MT yang menghadiri mesyuarat sayap, itu sahaja,” katanya dipetik laporan media.

Ketika ditanya berkenaan sama ada usul PRU-15 dibincangkan atau sebaliknya, Naib Presiden UMNO itu hanya menjelaskan perkara itu tiada disentuh.

“Tiada,” tambahnya lagi dengan ringkas.

Ismail Sabri kemudian berkata tunggu sehingga esok bagi mengetahui lebih lanjut berhubung butiran usul yang dijangka dikemukakan pada Perhimpunan Agung itu.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua jam bermula 8.30 malam itu turut dihadiri Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan, dua Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta barisan ahli MT.

Sebelum ini, desakan pembubaran Parlimen oleh UMNO bagi memberi membuka laluan kepada PRU-15 semakin hangat diperkatakan pemimpin parti.

Terdahulu, Mohamad semasa dalam ucapan perasmian sayap dengan penuh yakin berkata UMNO akan kembali berkuasa dan kembali menjadi dominan sekiranya PRU-15 diadakan dengan segera, ia mengambilkira keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor yang menyaksikan pembangkang kalah teruk.

Menguatkan hujah UMNO semakin kuat, Mohamad juga berkata semua parti lain kini berada dalam keadaan lemah dan tidak sekuat mereka, ia sekaligus memberi keyakinan untuk merampas semua kerusi yang mereka tewas semasa PRU-14 lalu.

“PKR kalah semua kerusi yang mereka tandingi di (Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan memenangi hanya satu kerusi di (PRN) Johor. DAP kehilangan banyak kerusi di Melaka dan kalah hampir semua kerusi ditandingi di Sarawak. Di Johor pula, mereka hanya memenangi 10 daripada 14 kerusi.

“Perikatan Nasional (PN) pula dalam semua PRN, hanya bergantung kepada jentera PAS dan tidak menjadi pesaing handal lagi digeruni. Di Johor, PN sudah kita jinakkan dengan hanya menang tiga kerusi,” katanya.

Susulan ucapan perasmian Mohamad, beberapa perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO semasa membahaskan ucapan tersebut dilihat senada dengan pendirian supaya PRU-15 diadakan dengan segera.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan semasa ucapan dasar pergerakan berkata Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan lagi untuk menangguhkan PRU-15 ia memandangkan musuh sekarang berada dalam keadaan lemah dan mereka perlu mengambil kesempatan tersebut sebaik mungkin.

“Covid 19, fasa pandemik sudah beralih ke fasa endemik. Sudah boleh solat di masjid seperti biasa. Sudah boleh makan di kedai 24 jam. Sudah boleh keluar masuk-negara seperti biasa.

“Tak nafi risiko tetap ada, tetapi, ‘no pain no gain’. Risiko yang dihitung harus dibuat demi masa depan parti dan negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki turut juga memberi gesaan yang sama supaya mandat diberikan kepada rakyat untuk memilih pada PRU-15 nanti.

“Maka kita tiada pilihan melainkan memulangkan kembali mandat kepada rakyat bagi mereka membuat pilihan. Tiada lagi sebarang alasan untuk kita menafikan hak rakyat menentukan kestabilan.

“Tiga Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak, Melaka dan Johor, dapat dilaksanakan dengan selamat, tanpa masalah dan penuh ketertiban. Ini sejajar dengan peralihan negara ke arah fasa
endemik.

“Sebuah negara demokrasi memerlukan rakyat sebagai kata penentu keabsahan sesebuah kerajaan. Hanya dengan mandat baru maka sebuah Kerajaan yang teguh dan stabil dapat didirikan,” katanya.

Spekulasi bertiup kencang mengatakan tuntutan PRU-15 bakal menjadi intipati utama PAU 2021 menerusi ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi esok.

BERITA BERKAIT
POPULAR