
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dakwaan mengatakan UMNO berpecah kepada banyak kem dinafikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan.
Mohamad atau Tok Mat menyifatkan dakwaan pihak tertentu berhubung kononnya UMNO kini terpecah kepada beberapa kem adalah tidak benar sama sekali dan menggesa supaya semua pemimpin parti itu tidak terperangkap dalam permainan musuh yang mahu melihat parti itu kacau bilau.
“Saya tak perasan pula ada banyak kem, tak ada (kem) pun. Orang nak panggil kem siapa-siapa biarlah. Asalkan kami tidak terikut-ikut dengan dakwaan itu. Bak kata orang, kita tak menari ikut apa yang mereka pukul gendang.
“Dalam ucapan saya kepada ahli dan pimpinan UMNO Kedah tadi pun ada menyebut perkara ini, mereka (pihak luar) tak tahu saya selalu jumpa dengan pemimpin parti, tak kan saya hendak uar-uarkan hari ni saya jumpa Perdana Menteri dan muat status dalam Facebook saya,” katanya dipetik laporan BH hari ini.
Mohamad terdahulu mengadakan pertemuan dengan jentera pilihan raya dan pimpinan Bahagian UMNO Kedah.
Spekulasi mengatakan UMNO kini berpecah kepada tiga kem selepas pendedahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berhubung isu dalaman parti tersebut.
Tajuddin juga sebelum ini membidas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang terpalit dengan kes mahkamah sebagai liabiliti kepada parti dan mendesaknya supaya meletak jawatan.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu berang susulan tindakan Zahid menggugurkannya daripada MT parti tersebut.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya enggan melatah dengan tuduhan dilemparkan, selain menyifatkan hanya kepimpinan dalam parti itu yang mengetahui perkara sebenar.
Sementara itu, Mohamad menasihatkan semua ahli Barisan Nasional (BN) tidak lagi menyentuh soal pengagihan kerusi antara parti komponen dalam gabungan itu.
Katanya, perkara itu perlu diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan setiap parti di peringkat pusat.
“Sehingga kini kedudukan pembahagian kerusi antara parti dalam BN masih kekal dengan status quo, seperti sebelum ini. Kepimpinan parti akan bentang strategi dan dari situ kita akan lihat secara keseluruhan. Kita tak mahu nanti ada pula pada peringkat bahagian yang menyatakan kita nak ambil kerusi itu dan dia nak ambil kerusi ini.
“Keadaan itu nanti akan mewujudkan perasaan tak sihat antara satu sama lain. Jika setiap parti sudah setuju di peringkat pusat, semua peringkat parti di peringkat negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menuruti apa diputuskan parti,” katanya.