Terlepas kes RM114 juta, tak bermakna Najib berjaya bersihkan nama, kata peguam

Datuk Seri Najib Razak dan UMNO akan menuntut hak wang bernilai RM114 juta.

Walaupun Mahkamah Tinggi sudah membuat keputusan wang RM114 juta perlu dikembalikan kepada Datuk Seri Najib Razak ia tidak bermakna bekas Perdana Menteri itu sudah dibersihkan namanya daripada pertuduhan jenayah lain yang dihadapinya.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla membidas Najib yang membuat kenyataan dangkal seolan-olah kes perbicaraan lain sedang dihadapinya juga sudah selesai walhal hakikatnya semua kes pertuduhan yang dihadapinya tetap berjalan perbicaraan dan belum diputuskan lagi oleh mahkamah.

“Pada hakikatnya, kenyataan semberono Najib Razak itu bukan sahaja tidak betul malah songsang daripada fakta,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, kes wang dikembalikan tersebut hanya satu daripada beberapa pertuduhan lain dihadapinya dan jika mahu membersihkan namanya, Najib perlu menang semua kes mahkamah terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan retorik semata-mata untuk mendapat simpati orang ramai.

“Kerana kebenarannya adalah, isu kegagalan lucut hak berkaitan RM114 juta itu sahaja yang dalam pendapat mahkamah tidak dibuktikan sebagai hasil jenayah, tetapi kesemua senarai pertuduhan jenayah yang dihadapi oleh Najib perlu beliau menang tanpa gagal untuk Najib kemudiannya boleh mendakwa kononnya namanya “sudah dibersihkan!” katanya lagi.

Menurut Haniff lagi, kenyataan Najib itu adalah tidak munasabah memandangkan kes perbicaraan sedang berjalan dan ia dilihat cuba mewujudkan persepsi umum seakan-akan beliau tidak bersalah dalam pertuduhan lain yang dihadapinya.

“Ianya tidak bermakna Najib itu tidak bersalah langsung dalam mana-mana atau kesemua pertuduhan jenayah yang dihadapi Najib di pelbagai mahkamah setakat ini,” ujarnya.

Terdahulu pada Khamis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

Katanya, pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram iaitu Asisten Komisioner D Rajagopal gagal menunjukkan wang itu adalah harta curi, wang dipindahkan hasil daripada pecah amanah jenayah atau penipuan serta gagal menjelaskan bagaimana pecah amanah jenayah atau penipuan berlaku.

Bagaimanapun, status wang berjumlah RM114,164,393.44 tidak diputuskan selepas tiada sebarang perintah dikeluarkan mahkamah sama ada ia akan dikembalikan kepada pemilik atau disimpan kerajaan.

POPULAR