
Khairy Jamaluddin dipecat UMNO ekoran pertembungan dengan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
PKR perlu juga menjaga hati UMNO daripada terguris dan menjaga hubungan antara kedua-dua parti, kata Datuk Seri Aminuddin Harun.
Naib Presiden PKR itu berkata, jika parti menerima kemasukan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ia dibimbangi akan menyebabkan UMNO terasa hati kerana sudah memecatnya baru-baru ini dan ia tidak baik kepada hubungan antara PKR dengan UMNO nanti.
“Mungkin ada perbincangan secara tidak formal, tetapi jika secara formal ia mesti diputuskan di peringkat kepemimpinan presiden PH, itu sahaja, jika ia diputuskan, saya rasa itu tidak jadi masalah.
“Perlu juga dilihat dalam kerajaan perpaduan ini, telah ada persefahaman dan kerjasama yang baik, apabila satu di ambil tindakan, adakah perkara itu baik untuk parti yang lain menerima, kerana (mereka) sahabat dalam sebuah kerajaan, itu amat penting juga dinilai.
“Saya tidak mahu komen panjang, di peringkat ini, ia perlu diputuskan, mungkin diterima, pihak sana (UMNO) okay, boleh terima, itu mungkin kita boleh diterima, kalau pihak sana terasa dan terguris,ia boleh datangkan masalah, saya rasa perkara itu, biarlah diputuskan oleh Majlis Presiden,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Kelmarin UMNO membuat keputusan memecat keahlian Khairy dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Kemudiannya, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, penyertaan Khairy sebagai ahli PKR perlu dibincangkan dalam kepemimpinan parti dan beliau tidak boleh keseorangan membuat keputusan itu dan tanpa perlu dilakukan secara kolektif oleh semua pemimpin PKR.
Katanya lagi, desas-desus berita kemasukan Khairy ke PKR masih bersifat spekulasi dan hanyalah pramatang.
Bagaimanapun, Perikatan Nasional (PN) sudah memberikan isyarat sedia menimbang dengan serius sekiranya Khairy mahu menyertai mana-mana parti dalam gabungan itu sama ada PAS atau UMNO.