Terbukti, Anwar ditipu anak muridnya, terpaksa rayu sokongan sana sini

Jangkaan Agenda Daily tepat dan tidak disangkal lagi, akhirnya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dipermainkan anak muridnya sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kini terpaksa merayu sokongan sana sini untuk mendapatkan majoriti.

Presiden UMNO itu bersama 14 rakan kleptokratnya mempunyai agenda tersirat tetapi kerana terlalu ghairah untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Anwar percaya bulat-bulat sehingga tercetusnya kemelut politik.

Nyata, Anwar kini terpaksa merayu sokongan sana sini kerana tidak memiliki angka yang diperlukan untuk ditabal sebagai Perdana Menteri (PM) baharu dan blok pembangkang adalah punca utama kepada kemelut ini kerana sanggup bersekongkol dengan kleptokrat yang berdepan kes mahkamah.

Selepas pendedahan Ahli Parlimen DAP, Tony Pua yang mendakwa Anwar tidak memiliki majoriti dan hari ini Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula terpaksa merayu kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal bagi pihak Anwar, ia membuktikan bahawa Presiden PKR itu nyata sama sekali tidak akan dapat menjadi PM seperti yang dicita-citakannya.

Anwar nampaknya mabuk kuasa dan khayal dengan retorik politik sehingga memaksa rakyat turut terlibat dalam huru-hara yang dicetuskan kumpulannya yang terdiri daripada Zahid dan konco-konconya.

Sejak awal lagi, Agenda Daily meramalkan Anwar bakal terjerat dengan strategi yang dicaturnya, berkali-kali dipesan supaya tidak percaya dengan Zahid yang mempunyai sejarah tidak bercakap benar, ia turut diakui rakan senior partinya, Datuk Seri Nazri Aziz yang menuduh Zahid seorang penipu besar.

Bagaimanapun, Anwar yang juga cikgu Zahid itu terlalu mempercayai anak muridnya, lebih malang lagi apabila rakan-rakan parti blok pembangkang seperti DAP dan Amanah pula boleh percaya bulat-bulat kepada Anwar.

Kini, DAP dan Amanah pula diheret sekali dalam kancah politik dan mereka nampaknya sekali lagi ditipu Anwar yang kononnya sudah memiliki majoriti walhal hakikatnya sudah ditipu Zahid dan UMNO.

Jika sebelum ini Anwar dilihat berpeluang untuk menjadi PM baharu, bagaimanapun dengan perkembangan terkini politik dan percaturan yang sedang digerakkan UMNO, nampaknya calon PM baharu akan menjadi milik UMNO yang akan kembali menjadi dominan di Putrajaya nanti.

Anwar hampir pasti akan sekadar menjadi PM yang sedang menunggu kerana kebodohan yang diciptanya sendiri.

UMNO kini sedang berunding dengan Bersatu dan PAS untuk menerima calon PM mereka iaitu Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sifir mudah, Bersatu dan PAS tidak akan membiarkan blok pembangkang Pakatan Harapan (PH) yang majoritinya terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen (MP) bukan Melayu bumiputera untuk mentadbir kerajaan pusat.

Apa pun terjadi, kerajaan pusat perlu ditadbir oleh majoriti gabungan yang mempunyai jumlah MP dikalangan orang Melayu Islam, ia bagi mengekalkan kestabilan negara yang majoritinya adalah masyarakat kaum Melayu dan Islam.

Ia suatu yang mustahil untuk Anwar diangkat sebagai PM baharu kerana beliau juga tidak ada majoriti dan apabila DAP terpaksa merayu bagi pihaknya, ia adalah bukti pembangkang kini sudah tersepit dan akhirnya kesilapan mereka sendiri menjadi punca kepada kejayaan UMNO menjadi dominan di Putrajaya.

UMNO berterima kasih kepada Anwar dan blok pembangkang yang sudi menghulurkan bantuan untuk memastikan cita-cita membebaskan kleptokrat yang terpalit dengan rasuah dapat menjadi kenyataan.

BERITA BERKAIT
POPULAR