
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diharap terus mengekalkan integriti dan kredibiliti beliau dengan tidak bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat.
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan mengingatkan pelantikan Tengku Zafrul oleh Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana negara memerlukan profesional bagi mengendalikan hal ehwal kewangan negara.
Menurutnya Muhyiddin melantik Tengku Zafrul ke Kabinet kerana negara memerlukan sepasang tangan profesional untuk mengendali hal ehwal kewangan, terutama dalam fasa permulaan pandemik Covid-19 yang membawa kepada krisis ekonomi.
“Ia juga konsisten dengan sikap Muhyiddin membawa masuk orang “luar politik” seperti Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri ke Kabinet (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama) yang memerlukan kepakaran tertentu.
“Saya dan rakan-rakan mengambil pendirian sama dengan Muhyiddin, iaitu mempertahankan keputusan dibuat Tengku Zafrul kerana kita dari Bersatu inilah yang membawa dia masuk ke dunia politik. Lagipun kita berpandangan pada waktu itu Tengku Zafrul seorang yang ada pendirian.
“Semasa dia diasak oleh pelbagai pihak terutama UMNO, kamilah (Bersatu) yang mempertahankan integriti dan kredibilitinya.
“Tapi akhirnya daripada seorang Tengku Zafrul yang berwibawa, kuasa dan jawatan telah mengubah dirinya menjadi Zafrul yang sujud bersekongkol dengan kleptokrat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Golongan kleptokrat merujuk kepada sekumpulan pemimpin UMNO yang berhadapan dengan pertuduhan pecah amanah dan rasuah di mahkamah.
Sebelum ini, UMNO bersetuju melantik Tengku Zafrul sebagai Bendahari Barisan Nasional Selangor, sekali gus membuka peluang kepadanya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 akan datang.
Wan Saiful turut mempersoalkan tindakan membiarkan dua agensi di bawah Kementerian Kewangan – Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam – untuk duduk bersama Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam forum “Malaysia Tax Policy Forum”.
“Ini strategi mensucikan diri yang sama dengan Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Untuk rekod, Zahid kini berdepan puluhan tuduhan jenayah rasuah ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, manakala Najib pula telah didapati bersalah dalam kes SRC dan kini menunggu perbicaraan rayuan di Mahkamah Persekutuan.