
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerima surat pelantikan sebagai Bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor daripada Pengerusi BN Negeri Tan Sri Noh Omar di Shah Alam, malam tadi (31 Julai 2022).
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bakal menjadi calon UMNO/Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, setelah dilantik sebagai Bendahari BN Selangor.
Walaupun sebelum ini, pernah menafikan sekarang bukan masa sesuai untuk menceburi bidang politik kerana berusaha memulihkan ekonomi negara, beliau bagaimanapun berterima kasih di atas pelantikan itu.
Menurutnya sama ada tercalon atau tidak pada PRU-15 akan datang, keutamaan yang diberikan adalah untuk memastikan BN dapat menawan semula Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).
“Kita satu pasukan di Selangor. Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar dan saya akan bekerjasama dengan semua pucuk kepimpinan BN di Selangor… untuk menawan kembali Selangor,” kata Tengku Zafrul.
Sebelum ini, jawatan Bendahari BN Selangor disandang Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos yang bersedia menyerahkan kerusi itu kepada Tengku Zafrul.
Jamal menyatakan kesediaannya untuk memberi laluan kepada Zafrul bagi memastikan UMNO-BN dapat memenangi semula Selangor pada PRU-15 akan datang.
“BN Selangor sangat memerlukan seorang individu berkarisma ‘heavyweight’ seperti beliau untuk menghadapi PRU yang sangat mencabar.”
“Saya ingin menggesa kepimpinan BN Selangor mempertimbangkan cadangan ini untuk segera melantik Tengku Zafrul sebagai bendahari sejurus selepas saya meletak jawatan,” kata Jamal.
Sebelum ini juga spekulasi mengatakan Tengku Zafrul berkemungkinan bertanding di Parlimen Kuala Selangor pada PRU-15. Sebahagian besar pengundi seakan sudah ambil maklum kemungkinan tokoh korporat itu mempertaruhkan nasib pada pilihan raya pertamanya di sana.
Melihat demografi Parlimen Kuala Selangor, kerusi itu diwakili majoriti 66 peratus pengundi Melayu; India (22 peratus); Cina (13 peratus); Bumiputera Sabah dan Sarawak (0.2 peratus) serta 0.5 peratus Orang Asli dan lain-lain.
Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mewakili Parti Amanah Negara adalah Ahli Parlimen Kuala Selangor yang menang majoriti besar 8,498 undi pada PRU-14.
Biarpun rekod cemerlang Dr Dzulkefly mewakili PH, terutama ketika tsunami menolak BN membengkak pada 2018, terlalu awal untuk menganggap Parlimen Kuala Selangor adalah kubu kuat PH.
Terdahulu ketika berucap pada Majlis Penutup Konvensyen BN Selangor di Shah Alam, malam tadi, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pelantikan Tengku Zafrul adalah sebagai langkah permulaan untuknya ‘terjun’ ke bidang politik.
“Peluang itu adalah yang terbaik kerana bukan sahaja beliau telah dikenali, tentu beliau mempunyai hasrat terlibat secara langsung dalam politik kerana beliau juga telah menjadi ahli UMNO Cawangan Jalan Travers (Bahagian Lembah Pantai),” katanya b
Menurutnya yang juga Presiden UMNO, gabungan itu Selangor harus memberi peluang kepada muka baharu terutama golongan profesional yang berpotensi dalam usaha merampas kembali Selangor pada PRU-15.
Katanya golongan ‘warlord’ BN sebagai orang politik harus berjiwa besar untuk menerima kelompok profesional selain memulakan pencarian calon lain yang dapat membantu kemenangan gabungan itu.
Beliau berkata kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri di Sabah, Melaka dan Johor tidak seharusnya dijadikan acuan bagi menghadapi PRU akan datang sebaliknya BN Selangor harus melakukan perubahan dengan mencari tokoh profesional dalam kalangan anak Selangor untuk dinamakan sebagai calon.