Tawaran kerjasama cadangan progresif, politik bertamadun: Nazri

Pemimpin senior UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan tawaran kerjasama kerajaan kepada semua pihak khususnya parti blok pembangkang sebagai cadangan yang progresif ke arah mewujudkan amalan politik bertamadun.

Nazri melihat tujuh cadangan yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mewujudkan corak politik yang lebih beretika, sebagai contoh langkah untuk menggubal undang-undang lompat parti yang termasuk dalam tawaran tersebut.

“Ianya adalah tujuh cadangan yang progresif dan akan mentamadunkan politik di Malaysia, saya daripada dulu lagi sudah mencadangkan undang-undang lompat parti dan InsyaAllah dengan pengumuman ini kerajaan akan melaksanakan.

“Selain itu, ia juga menekankan etika politik, sepatutnya Ahli Parlimen yang dikatakan kleptokrat jika mereka beretika mesti letak jawatan apabila didakwa di mahkamah dan selepas didapati bersalah. Sebagai contoh di United Kingdom, Menteri Kesihatan mereka tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard) kerana mencium pipi seorang wanita dan terus letak jawatan. Ini yang dikatakan lebih putih daripada putih (whiter than white),” katanya kepada Agenda Daily.

BACA: Bekerjasama untuk bantu rakyat, Muhyiddin tak mahu kleptokrat kembali berkuasa

Dalam ucapan Muhyiddin, kerajaan mencadangkan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

Menurut Nazri lagi, langkah untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan mampu memberi semak dan imbang kepada sesebuah kerajaan serta menjamin integriti seseorang yang berada di puncak kuasa kerajaan.

“Itu saya sangat bersetuju kerana kita bagaimana seorang Perdana Menteri yang sudah didapati bersalah di Mahkamah Tinggin kerana terlibat dengan kes isu rasuah dan juga salahguna kuasa.

“Jadi dengan kita hadkan dua penggal, maka dia tidak boleh mewujudkan satu suasana yang mana dia menguasai penuh pentadbiran negara termasuk mempengaruhi pegawai kerajaan dan pentadbir,” katanya lagi.

Berhubung melibatkan Undi 18, Nazri berkata komitmen tersebut memperlihatkan keikhlasan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk melaksanakan manifesto yang gagal ditunaikan ketika pemerintah zaman Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Kita semua tahu kerajaan gagal PH bawah Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) sebelum ini membuat keputusan untuk tidak melaksanakannya sekarang.

“Sebenarnya ini menjadi masalah apabila terlalu lama dalam politik dan merasakan budak-budak muda 18 tahun sebagai tidak matang untuk membuat keputusan dalam pilihan raya umum. Jadi orang tua macam Dr Mahathir jangan bagi peluang lagi untuk mentadbir negara,” ujarnya.

Nazri juga mengalu-alukan usaha kerajaan dalam memberikan peruntukan sama adil kepada Ahli Parlimen tanpa mengira latar belakang politik mereka.

“Berhubung pembahagian peruntukan, saya bersetuju sangat kerana Ahli Parlimen tidak kira sama ada dalam kerajaan atau tidak, masing-masing telah dipilih secara sah untuk menjadi wakil rakyat.

“Saya setuju langkah ini kerana kenapa perlu hukum rakyat semata-mata kerana wakil rakyat itu bukan berada dalam kerajaan,” tegasnya.

Beliau menggesa supaya semua pihak berbincang secara serius berhubung tawaran kerjasama tersebut kerana rakyat sudah muak dan menyampah dengan karenah ahli politik yang berebut kuasa.

“Rakyat sudah menyampah dan muak dengan Ahli Parlimen yang berebut kuasa, saya sokong titah Sultan Johor supaya tidak menjadikan dewan yang mulia sebagai sangkar beruk,” katanya lagi.

Terdahulu, Muhyiddin berkata cadangan tersebut bagi memastikan kerajaan sedia ada dapat menumpukan kepada usaha menangani krisis kesihatan negara dan tidak mahu kumpulan kleptokrat yang sedang merancang untuk menjatuhkannya kembali berkuasa.

Antara lain Perdana Menteri menjanjikan suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen, jika memperoleh sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga.

Beliau juga berkata kerajaan memberi jaminan akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah MP Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.

BERITA BERKAIT
POPULAR