
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu sedang berlangsung di Menara SPR di sini.
Dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh, mesyuarat yang bermula 10 pagi itu antaranya bagi menentukan tarikh penting PRK tersebut seperti tarikh penamaan calon dan hari mengundi, lapor Bernama.
Mesyuarat turut dihadiri Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak serta ahli SPR iaitu Zoey Randhawa, Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis, Datuk Nik Ali Mat Yunus dan Datuk Dr Lee Bee Phang.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ini selepas pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Pada 3 Okt lepas, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.