
Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.
DAP berpendapat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) wajar ditangguhkan sehingga semua negeri melaksanakan pindaan terhadap Perlembagaan Negeri masing-masing dengan memasukkan undang-undang antilompat parti.
Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng berkata undang-undang berbeza antara Perlembagaan Persekutuan dan negeri tidak sepatutnya wujud bagi membersihkan kerangka politik negara daripada wakil rakyat yang didakwa mengambil kesempatan dan sanggup menjual prinsip serta mengkhianati mandat rakyat demi mengejar kekayaan dan jawatan politik.
“Atas sebab ini, adalah menjadi kewajipan bagi Ismail (Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) untuk melaksanakan undang-undang antilompat parti ke seluruh negara.
“(Ia boelh dilakukan) dengan menangguhkan pilihan raya umum sehingga undang-undang bersejarah ini meresap ke dalam setiap badan perundangan dan menyemai semangat reformasi baharu kepada wakil rakyat akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (29 Julai).
Ahli Parlimen Bagan itu berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam dan bersetuju supaya tiga negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) meminda Perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri masing-masing secepat mungkin sebaik saja Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 diluluskan.
Justeru, katanya, Perdana Menteri perlu memberikan komitmen sama dengan mengarahkan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk turut meminda Perlembagaan Negeri masing-masing berkaitan undang-undang antilompat parti.
Dewan Rakyat, semalam mencatat sejarah apabila RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.
RUU yang digubal berasaskan lapan parameter utama itu diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan Perdana Menteri, kelmarin.
Guan Eng juga menyifatkan kelulusan RUU itu adalah kejayaan besar kepada perjuangan panjang parti pembangkang untuk menyingkirkan wakil rakyat yang melompat parti.
“Marilah kita memenuhi misi bersejarah ini dengan mengisi undang-undang anti lompat parti ini, bukan saja dengan kuasa undang-undang tetapi disemai dengan kekuatan moral baharu integriti politik dan kebertanggungjawaban untuk memulihkan kepercayaan rakyat bahawa undi mereka mempunyai nilai yang sangat berkuasa sehingga tidak boleh dijual beli,” katanya.