
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
UMNO perlu menunggu sehingga 16 Julai ini bagi mengetahui keputusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung permohonan untuk menangguhkan pemilihan parti selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata UMNO masih menunggu keputusan RoS untuk meluluskan pindaan Perlembagaan parti yang dimohon sebelum ini dan memberitahu RoS dijangka membuat keputusan tersebut pada 16 Julai ini.
“Belum dapat lagi (maklum balas). Ia dalam masa 60 hari… kalau tak silap saya sehingga 16 Julai ini.
“Jadi sebelum itu masih menunggu lagi,” kata Ismail Sabri dipetik laporan media hari ini.
Beliau terdahulu merasmikan Persidangan Perwakilan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) kali ke-42 di Universiti Malaya (UM).
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mengkritik RoS kerana masih tidak memberi sebarang maklum balas berhubung permohonan parti itu untuk menangguhkan pemilihan parti.
“Tidak adil RoS bertindak begini. Beri kami jawapan daripada membuat kami tertunggu-tunggu begini. Jika ya, terima kasih banyak-banyak.
“Jika tidak, terima kasih juga. Kami kemudian boleh membuat persiapan untuk mengadakan pemilihan parti kami. RoS mesti menjawab atau mungkin perlu mendapatkan perintah mahkamah,” kata Mohamad dipetik laporan media.
Untuk rekod, RoS mengambil masa lebih setahun untuk memberikan kelulusan kepada MCA meminda perlembagaannya.
MCA menyerahkan kertas kerjanya pada Disember 2019.
Pindaan perlembagaannya hanya diluluskan RoS pada Mac tahun ini.
Pada Jun tahun lalu, UMNO dibenarkan menangguhkan pengundiannya selama 18 bulan sehingga 29 Disember tahun ini susulan pandemik Covid-19.
Sementara, pada 15 Mei pula, Perhimpunan Agung Khas UMNO melibatkan 2,586 perwakilan dari 192 bahagian sebulat suara meluluskan resolusi untuk meminda Perlembagaan parti dengan RoS mesti meluluskan pindaan itu.