
Setiausaha Agung Beratu yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Keahlian bekas Ketua Bahagian Bersatu Jerlun, Abdul Ramli terlucut serta-merta susulan tindakannya bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh dalam pilihan raya negeri (PRN), kali ini.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tindakan Abdul Ramli itu melanggar Fasal 10.2.4 Perlembagaan parti.
“Keahlian bekas Ketua Bahagian Bersatu Jerlun, Kedah, Abdul Ramli terlucut serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tegasnya, parti memandang serius isu pelanggaran disiplin dan akan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mensabotaj calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRN kali ini.
“Bersatu sebelum ini juga telah memecat seorang ahli parti dari Bahagian Hulu Selangor dan menggantung keahlian dua yang lain selama tiga tahun disebabkan kesalahan sabotaj ketika kempen pilihan raya berlangsung.
“Sehubungan itu, berbaki lima hari tempoh berkempen, seluruh ahli serta jentera Bersatu adalah diseru supaya memberikan tumpuan serta fokus sepenuhnya dalam memastikan kemenangan kepada kesemua calon PN sama ada yang bertanding di bawah lambang PN atau PAS bagi menterjemahkan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan PH-BN (Pakatan Harapan-Barisan Nasional),” katanya.
Hamzah turut berkongsi surat pemecatan Abdul Ramli bertarikh 4 Ogos 2023.