
Kenyataan Kementerian Luar berkaitan isu kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi.
Kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) hanya berani membuat kenyataan media berkaitan isu kunjungan Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini.
Anwar dan Kementerian Luar sendiri takut untuk menjawab beberapa soalan yang dibangkitkan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkaitan lawatan yang disifatkan sebagai kunjungan biasa, kerana tidak bertemu Raja Arab Saudi dan Perdana Menteri negara itu.
Usul tergempar dikemukakan Ahli Parlimen PN Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Dewan Rakyat, bagi membincangkan penggunaan wang rakyat untuk kunjungan ke Arab Saudi itu, juga ditolak.
Malah, usaha menanyakan soalan berkaitan kunjungan itu pada sesi pertanyaan menteri yang disertai Perdana Menteri pagi tadi (28 Mac 2023), turut ditolak.
Kerajaan PH-BN menerusi Wisma Putra petang ini mengeluarkan kenyataan menyatakan perkara-perkara yang dibangkitkan berhubung kunjungan itu lebih bersifat spekulasi dan jaug menyimpang daripada fakta sebenar.
Menurut kenyataan itu, delegasi Malaysia diberikan Taraf Tetamu Negara penuh yang meliputi penyediaan kenderaan, penginapan dan kawalan keselamatan oleh Saudi Royal Guard dan pegawai-pegawai protokol daripada Majlis Diraja Arab Saudi (Royal Court).
“Kemudahan-kemudahan Taraf Tetamu Negara ini turut diperuntukkan semasa pelaksanaan ibadah umrah di Makkah Al-Mukarramah di mana lebih 50 orang anggota keselamatan mengiringi Perdana Menteri.
“Kemudahan-kemudahan itu juga turut disediakan semasa ziarah di Madinah Al-Munawwarah,” kata Wisma Putra.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa delegasi Malaysia menerima makluman supaya tempoh lawatan dipanjangkan daripada tempoh asal bagi mengaturkan sesi-sesi kunjungan hormat dan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi kerajaan Arab Saudi.
Bagaimanapun, delegasi Malaysia menjelaskan secara baik bahawa permintaan itu tidak dapat dipenuhi disebabkan komitmen-komitmen Perdana Menteri yang telah ditetapkan awal sebelum lawatan.