Taktikal sahaja namakan Sulaiman sebagai KM Melaka, sebenarnya Rauf

Langkah Barisan Nasional (BM) menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri (KM) sekiranya gabungan itu menang Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini hanya strategi politik dan taktikal semata-mata.

Sebaliknya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, adalah individu yang telah dinamakan lebih awal untuk menjadi KM Melaka jika BN menang.

Agenda Daily difahamkan, Ab Rauf yang sebelum ini dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka adalah individu berkebolehan untuk menggalas tugas itu kerana peranannya dalam pentadbiran negeri sebelum ini.

Beliau juga dikatakan mendapat restu Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk diangkat sebagai KM Melaka. Sebab itu, kali ini beliau dicalonkan untuk bertanding.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu Ab Rauf tidak dicalonkan, namun setelah kerajaan Pakatan Harapan Melaka tumbang pada Mac 2020, beliau dilantik sebagai Speaker DUN.

Ab Rauf yang sebelum ini dikatakan kerap memberi tunjuk ajar kepada Sulaiman yang ketika itu menjadi KM, bagaimana untuk mentadbir negeri, mengundang keresahan beberapa Ahli Exco, termasuk Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, kedua-duanya wakil rakyat UMNO.

Lagi pula Sulaiman tidak disukai beberapa pemimpin atasan UMNO negeri pimpinan Ab Rauf.

Terdahulu, ketika mengumumkan calon KM Melaka hari ini, Pengarah Jentera Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Sulaiman dilihat sebagai pemimpin yang disenangi rakyat Melaka serta bebas daripada sebarang isu.

“Saya harap pentadbiran beliau diterima ramai, beliau tiada isu…Insya-Allah jika diizinkan Allah kita jadikan Sulaiman Md Ali Ketua Menteri Melaka yang baharu,” kata Mohamad selepas melancarkan manifesto BN, hari ini.

Mengulas mengenai beberapa nama yang sebelum ini turut disebut sebagai calon Ketua Menteri daripada BN, Mohamad, pemimpin-pemimpin berkenaan berpotensi untuk dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri atau meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat.

Apa yang utama, kata Mohamad ialah, kerajaan negeri yang bakal dibentuk lebih stabil dan bebas daripada sebarang ancaman pemimpin yang berpaling tadah.

“Kita mesti ada satu parti teras tubuhkan kerajaan, kalau nak kestabilan politik mesti kita sendiri tubuhkan kerajaan. Kerana kita tak mahu setiap ketika ada orang mengugut dan mengancam untuk tarik sokongan, akhirnya rakyat juga akan susah.

“Saya harap rakyat Melaka pada 20 November ini pilih parti (yang) telah terbukti… kita sudah ada track record yang lama dan bagi kepada satu parti teras (iaitu) BN mentadbir Melaka,” katanya.

Difahamkan, kem penyokong Ab Rauf bagaimanapun tidak terkejut atau kecewa dengan pengumuman itu kerana mereka telah mengetahui lebih awal bahawa bekas Speaker DUN Melaka itu sebenarnya yang akan dilantik sebagai KM Melaka.

Bagi mereka pengumuman itu hanya sebagai taktikal politik sedangkan sebenarnya Ab Rauf lebih layak untuk menerajui pentadbiran negeri, sesuai dengan tugas digalasnya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka.

PRN Melaka diadakan setelah berlaku krisis pentadbiran dalam kerajaan negeri pimpinan Sulaiman apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk Idris dan Noor Azman, menarik sokongan.

Dua ADUN lain ialah Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Susulan penarikan sokongan itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN setelah mendapat nasihat Sulaiman dan Ab Rauf. SPR menetapkan 8 November lalu sebagai hari penamaan calon, diikuti 16 November bagi pengundian awal dan 20 November pengundian biasa.

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka kali ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR