
Pembersihan dalaman UMNO sedang berjalan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15,
Selepas mengadakan satu taklimat khas sehari sebelum perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak, UMNO sekali lagi akan mengadakan satu taklimat pada Sabtu ini.
Taklimat khas kali ini dipanggil Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjemput semua pemimpin parti seluruh negara untuk berkumpul di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 2 petang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan jemputan rasmi yang dihantar itu kepada semua ahli akar umbi parti untuk turut serta dalam taklimat tersebut.
Tanpa menjelaskan secara terperinci tujuan taklimat itu diadakan, katanya, ia berhubung “isu semasa terkini”.
Jemputan itu turut dipanjangkan kepada semua ahli jawatankuasa dan pimpinan UMNO bahagian yang ingin hadir.
Hadirin diminta berbaju merah Umno untuk menghadiri taklimat khas itu.
Dalam perkembangan lain, UMNO juga akan mengadakan satu mesyuarat Biro Politik pada malam ini di ibu pejabat parti.
Difahamkan perbincangan mesyuarat malam ini berkisar berhubung keputusan mahkamah Najib dan langkah seterusnya yang bakal diambil UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Zahid juga akan mempengerusikan mesyuarat Biro Politik malam ini dengan dijangka pemimpin utama parti akan hadir.
Untuk rekod, pada Isnin lalu satu taklimat khas juga dipanggil oleh Zahid semasa Najib sedang berdepan perbicaraan akhirnya dan semalam sabitan hukuman penjara dikekalkan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam memberi tekanan kepada Zahid yang juga sedang berdepan puluhan pertuduhan jenayah.