
Puad Zarkashi.
Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan usaha untuk menjatuhkan kerajaan campuran sebagai tidak wajar ketika ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO itu berkata kerajaan campuran perlu dipertahankan, malah menggesa parti politik serta pemimpin Kerajaan Perpaduan diingatkan tidak menjadi musuh dalam selimut.
“Titah Sultan Johor supaya Kerajaan Perpaduan tidak diganggu gugat adalah teguran kepada pelampau politik yang tidak serik dengan pengalaman pahit pertukaran tiga Perdana Menteri sebelum ini.
“Maka, jangan ada parti atau ahli Parlimen di pihak Kerajaan Perpaduan membuat langkah menikam dari dalam. Jangan terbabit proses jual beli politik dengan pihak lawan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Puad berkata, titah Sultan Johor cukup jelas dan amat wajar kerana idea Kerajaan Perpaduan adalah titah Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu untuk menyelesaikan kebuntuan penubuhan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Hentikan desas desus, provokasi, niat dan perancangan untuk menukar Kerajaan Perpaduan, terutama oleh pihak lawan. Peluang sudah diberi melalui peti undi di PRU-15,” katanya.
Kerajaan campuran ketika ini dilihat berdepan tekanan kerana kegagalan menangani permasalahan rakyat, disamping tidak menunaikan janji semasa PRU-15 lalu.