Tak wajar ganti Zahid sebagai Pengerusi BN, Mat Maslan tolak cadangan Annuar

Cadangan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa supaya Pengerusi Barisan Nasional (BN) diganti ditolak Datuk Seri Ahmad Maslan yang disifatkan sebagai tidak wajar.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata tidak ada keperluan untuk menukar Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memandangkan jawatan tersebut secara tradisinya disandang Presiden UMNO yang dipilih secara sah oleh perwakilan parti itu pada tahun 2018 yang lalu.

Jelas Ahmad, tidak ada keperluan untuk menukar Zahid walaupun Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dinamakan sebagai calon Perdana Menteri (PM), malah menegaskan Zahid masih belum didapati bersalah.

“Ketika ini hubungan terjalin dengan baik antara Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Mohamad yang menjaga parti serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menjaga kerajaan sejak Ogos tahun lalu.

“Apa salahnya tugas mereka berdua diteruskan. Presiden belum didapati bersalah oleh mahkamah dan proses perbicaraan masih berjalan, kita tidak boleh membuat kesimpulan beliau bersalah,” katanya dipetik laporan media.

Terdahulu, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata sudah tiba masanya Ismail Sabri diangkat sebagai Pengerusi BN dan Pengarah Jentera Pilihan Raya BN digantikan dengan orang baharu.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, sebagai bekas Setiausaha Agung UMNO, Annuar sepatutnya lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak menguntungkan parti.

“Zahid dan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hassan) adalah pemimpin parti yang telah dipilih oleh perwakilan UMNO dan sewajarnya mereka berdua tidak diminta untuk meletak jawatan,” tegas beliau.

Katanya, adalah lebih baik semua pemimpin UMNO memberikan sokongan kepada langkah yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan tidak menimbulkan sebarang percanggahan.

“Seharusnya semua pihak perlu berlapang dada, ini merupakan satu dinamika politik baharu yang dilakukan oleh UMNO bagi memastikan UMNO dan BN bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang mungkin lebih awal,” jelasnya.

MKT UMNO pada Khamis lalu memutuskan Ismail Sabri yang merupakan Naib Presiden UMNO dicalonkan sebagai Perdana Menteri atau ‘Poster Boy’ BN pada PRU-15 nanti.

BERITA BERKAIT
POPULAR