
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor memuat naik gambar pertemuan beliau bersama ADUN yang menyokong kepimpinannya, di Facebook beliau malam tadi (8 Januari 2023).
Ketua Menteri (KM) Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keabsahannya yang mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) boleh membawa masalah itu ke mahkamah.
Menurutnya jika ada pihak yang mempertikaikan kedudukannya sebagai Ketua Menteri mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri Sabah maka, mereka boleh mencabar perkara itu di mahkamah.
“Mana yang tidak puas hati, diorang boleh bawa ke mahkamah untuk buat keputusan,” katanya yang mengesahkan telah memperoleh surat akuan berkanun (SD) daripada 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah semalam.
Pengesahan sokongan menerusi SD itu yang turut diberikan lima ADUN UMNO dan Pakatan Harapan (PH) Sabah, sekali gus menolak dakwaan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan tumbang setelah 13 lagi ADUN UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadapnya.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS dipetik sebagai berkata, SD itu telah dihantar kepada Yang Dipertuan Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu semalam.
“Kita mempunyai sokongan majoriti daripada 44 ADUN. Ini bermakna bahawa kerajaan yang ada ini… yang saya pimpin ini masih lagi utuh serta kuat dan akan terus mentadbir negeri Sabah,” katanya selepas perjumpaan bersama 44 ADUN Sabah di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, semalam (8 Januari 2023).
Pada masa ini, kerajaan GRS mempunyai 29 kerusi dan memperoleh sokongan 15 lagi ADUN lain termasuk lima ADUN UMNO, tujuh ADUN PH, ADUN Bebas Datuk Masiung Banah (Kuamut); Rina Jainal (Harapan Rakyat-Kukusan) dan ADUN Dilantik Dr Aliakbar Gulasan.
Politik Sabah bergolak setelah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin membawa 12 lagi ADUN parti itu menarik sokongan terhadap Hajiji.
Bung Moktar turut dilaporkan menerima sokongan daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan bekas KM Datuk Seri Shafie Apdal, yang turut mengatakan Hajiji hilang kelayakan sebagai Ketua Menteri berdasarkan Perlembagaan Negeri Sabah.
Bagaimanapun, langkah Bung Moktar itu dilihat masih gagal untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Hajiji.
Mengulas mengenai rombakan Kabinet, Hajiji berkata, langkah akan dibuat dalam masa terdekat namun, beliau tidak memaklumkan tarikh sebenar rombakan akan dilakukan.