Tak perlu undi percaya terhadap PM, kata Peguam Negara

Undi percaya tidak perlu dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 13 September ini kerana lantikan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata langkah sedemikian sekiranya diteruskan juga dibimbangi akan menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong apabila ia memberi gambaran terdapat kuasa lain yang boleh mengatasi kuasa untuk membuat lantikan tersebut.

“Sekiranya pelantikan Perdana Menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain.

“Langkah sedemikian adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh hal yang demikian, berdasarkan kepada fakta-fakta dan kedudukan di atas, tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan YAB Perdana Menteri dan Kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang,” kata Idrus pada satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong pada 18 Ogos bertitah PM yang dilantik perlu secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat.

Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai PM kesembilan pada 21 Ogos.

Terdahulu pada 16 Ogos lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan keputusannya meletakkan jawatan selepas hilang majoriti sokongan dan cadangan kerjasama bipartisan juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Sekurang-kurangnya 111 majoriti diperlukan Ismail Sabri Yaakob bagi mengabsahkan kedudukannya di Dewan Rakyat dalam undi percaya nanti.

Jumlah 111 tersebut adalah majoriti mudah yang diperlukannya, jika kurang daripada jumlah tersebut ia bermakna Ismail Sabri gagal memperoleh majoriti mudah.

BERITA BERKAIT
POPULAR