Tak perlu sambung MoU dengan pembangkang yang semakin ketakutan: Zahida

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa supaya tidak menyambung memorandum persefahaman (MoU) dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) walaupun dipujuk untuk meneruskannya.

Gesaan tersebut dilontar Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan yang menyifatkan pembangkang kini dalam ketakutan kerana mengetahui bakal kalah sekiranya pilihan raya umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal dan Ismail Sabri sepatutnya tidak melayan tuntutan tersebut.

“Jangan dilayan, permintaan pemimpin DAP yang nak sambung lagi MoU supaya tidak ada PRU dalam masa terdekat.

Jangan dilayan rayuan pemimpin parti Pejuang supaya PRU diadakan sehingga penghujung penggal. Mereka rayu kerana mereka berada dalam ketakutan. Bergementar dalam kekecutan. Selama ini merekalah yang hendak membunuh kita. Kenapa pula kita hendak memberi nyawa kepada mereka untuk bunuh kita Kembali?” katanya semasa ucapan dasar pergerakan itu pagi ini.

Zahida juga berkata sekiranya menunggu lebih lama lagi, tidak mustahil semua parti yang memusuhi UMNO akan bergabung untuk melawan mereka dan sekiranya berlaku ia bakal memusnahkan mereka pula.

“Bersatu adalah Pakatan Harapan, asal usul Bersatu adalah tajaan DAP. PAS pernah bersama DAP.

“Banyak parti-parti yang wujud, termasuk PKR dan MUDA adalah tonggangan DAP. Tak mustahil apabila mereka terpukul teruk di Melaka, di Sarawak dan di Johor mereka semua akan cipta alasan baru atau dalil-dalil baru untuk kembali bertaut memusnahkan kita pulak,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, masa sekarang adalah paling sesuai untuk PRU-15 diadakan memandangkan musuh berada pada tahap paling lemah.

“Jangan banyak bertanya apakah UMNO sudah bersedia untuk menghadapi pertempuran baru? Kita patut bertanya setelah terpukul teruk apakah lawan kita lebih bersedia?

“Atau apakah nak tunggu mereka cukup bersedia? Mereka sedang berpecah dan mereka lemah. Saya ulang apa yang Tok Mat sebut semalam serang sewaktu musuh lemah. ‘strike while your enemies are weak’,” katanya lagi.

Terdahulu, PH berkata mereka bersedia meneruskan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai dengan Kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu, selepas tarikh 31 Julai depan.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen DAP, Anthony Loke yang berkata, pembangkang tiada masalah untuk meneruskan MoU itu, lebih-lebih lagi selepas pindaan Perlembagaan berkaitan undang-undang antilompat parti diluluskan nanti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pada masa sama, Ismail Sabri tidak perlu melayan desakan sesetengah pihak supaya PRU-15 disegerakan.

BERITA BERKAIT
POPULAR