Tak perlu Rahman Dahlan nak dabik dada dan takbur, kata Tajuddin

Susulan pendedahan klip audio tular seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT), Datuk Abdul Rahman Dahlan yang bimbang UMNO tidak diberikan kredit sekiranya kes Covid-19 berjaya diturunkan, seorang rakan ahli MT membidasnya supaya tidak mendabik dada dan takbur.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata rakyat tahu menilai buruk dan baik seseorang pemimpin, tidak perlu untuk terlalu menunjuk-nunjuk hanya semata-mata mahu mendapatkan penghargaan daripada orang ramai.

“Kalau orang yang baik, kalau berbudi pada rakyat, rakyat pasti tahu siapa yg berbudi.

“Rakyat tahu menilai dan hargainya. Tak payah nak dabik dada kita buat itu kita buat ini. Ini yang ditakutkan, kerajaan akan dapat nama, UMNO yang rugi,” katanya membidas Rahman yang didakwa mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Menurut laporan sebuah portal MalaysiaNow, Rahman didakwa berkata UMNO mesti bertindak sekarang ketika situasi Covid-19 masih buruk, kerana pemulihan pandemik tidak akan menguntungkan parti itu untuk mendapat kuasa.

“Tetapi bila kes Covid turun, kita juga akan rugi, sebab kita tidak akan dapat kredit. Yang akan claim kredit ialah perdana menteri. Saya khuatir, bila keadaan sudah reda dan ekonomi meningkat, apa akan jadi kepada UMNO?

“Kalau Covid ini reda, saya khuatir kita tidak akan dapat kredit. Bila mereka selesa, kita akan berdepan lagi dengan masalah,” kata Abdul Rahman lapor portal tersebut.

Tajuddin menegaskan tidak bersetuju dengan pandangan bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu yang disifatkan sebagai cetek dan dilihat cuba bermain politik sehingga mengadaikan maruah parti.

“Saya tidak bersetuju pada pandangan yang sempit dan cetek ini. Cakap mesti datang dari hati yang baik.

“Jangan main politik sampai gadaikan maruah kita, sejauh mana keyakinan UMNO kalau mentadbir, boleh selesaikan kes Covid-19? jangan cakap besar, ini kerja tuhan,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan ia bukan jaminan krisis yang sedang dihadapi negara dapat ditangani sekalipun UMNO mengambil alih kerajaan dan tidak wajar mendakwa kerajaan gagal walhal realitinya UMNO juga gagal.

“Jangan ingat bila kita ambil alih, kita mampu mengatasinya, jangan takbur sangat.

“Kita selalu cakap kerajaan gagal, tapi diri sendiri gagal tu tidak sedar pula?” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR