
Tan Sri Annuar Musa.
Pihak luar tidak perlu masuk campur berhubung perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata semua pihak berhenti membicarakan isu politik dan tindakan pihak yang cuba masuk campur hanya mahu menghangatkan keadaan bukannya mencari penyelesaian untuk membantu rakyat.
“Saya rasa orang lain tidak perlu campur. Baik kita berfikir dan bercakap untuk menolong rakyat di kawasan kita.
“Tumpukan membantu rakyat, bukannya setiap hari bercakap isu politik,” katanya hari ini dipetik laporan BH.
Terdahulu, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang meminta Annuar memberi penjelasan berhubung perjanjian politik antara Ismail Sabri dan Bersatu seperti mana didedahkan Ketua Penerangan, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, prinsip beliau mudah dan dalam soal berbangkit itu adalah soal membabitkan perdana menteri kelapan dan kesembilan, biarlah mereka menanganinya.
“Kedua-dua mereka amat tahu tentang selok belok dan letak duduknya satu-satu perkara. Jadi, orang lain termasuk saya tidak perlu buat nasi tambah,” katanya.