
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan kerusi Parlimen Pagoh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November 2022.
PKR tidak akan memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengekalkan kerusi Parlimen Pagoh pada Pilihan Raya Umum (PRU) November lalu, kata Timbalan Presiden parti Rafizi Ramli hari ini (14 Januari 2023).
Menurutnya beliau tidak mahu membazirkan sumber parti dalam perkara itu.
“Saya tidak fikir kita akan meneruskannya (petisyen)… saya tidak mahu mengheret sumber parti ke dalam perkara ini.
“Saya tidak mahu persoalan mengenai Kristian dan Yahudi ini berlarutan kerana ini akan memberi lebih banyak ruang untuk meluaskan polemik kaum dan agama.
“Itulah sebabnya saya tidak banyak memberi maklum balas mengenainya,” kata Rafizi kepada pemberita selepas berucap kepada ahli PKR pada konvensyen di Shah Alam untuk membuat persediaan menghadapi pilihan raya negeri (PRN) akan datang, menurut MalayMail.
Enam negeri – Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan – akan mengadakan PRN dalam tempoh beberapa bulan lagi, setelah tidak menyertai PRU-16 pada 19 November tahun lalu.
Mengulas lanjut Rafizi berkata daripada membuat petisyen, PKR akan melantik satu pasukan untuk melihat kenyataan serupa itu dalam PRN akan datang bagi mengelak propaganda itu berulang.
Sebelum ini, menjelang hari pengundian 19 November, Rafizi berikrar pihaknya akan memfailkan petisyen pilihan raya terhadap Muhyiddin jika beliau dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Pagoh atas alasan sengaja mencetuskan sentimen perkauman dengan mendakwa terdapat cubaan kumpulan Kristian yang dikaitkan dengan pembangkang untuk berdakwah kepada umat Islam di Malaysia.
Namun, berbeza dengan teman baharunya, UMNO yang kalah teruk dalam PRU-15 lalu berusaha untuk mengemukakan petisyen terhadap kemenangan PN di beberapa kerusi Parlimen.
Langkah untuk memfailkan petisyen itu akan dibuat setelah parti itu kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Pusat apabila bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP.
Tindakan itu disahkan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang berkata BN sudah mengenal pasti sejumlah kerusi yang akan terbabit dalam petisyen itu bagi mencabar keputusan PRU-15.