
Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.
Kemelut politik Sabah tidak berkesudahan apabila Parti Warisan Sabah (Warisan) dan UMNO terus cuba membuktikan bahawa Datuk Seri Hajiji Noor tidak layak menjadi Ketua Menteri, berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Negeri.
Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal dalam pada itu menegaskan status keabsahan Hajiji sebagai KM tidak perlu dibawa ke mahkamah untuk ditentukan.
Sambil menambah semua fakta jelas dinyatakan dan termaktub dalam Perlembagaan Negeri, bekas KM Sabah ke-15 itu juga menegaskan tiada keperluan untuk membentangkan usul undi percaya terhadap keabsahan Hajiji dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN), esok (10 Januari 2023).
“Ketika saya menjadi Ketua Menteri, kita bawa usul undi percaya ke DUN Sabah, saya peroleh dua pertiga (undi percaya) sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Kemudian, datang pihak lain, ‘beli’ orang (ADUN) saya, jadi saya terpaksa bubar DUN,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Duta Jepun di Malaysia, Takahashi Katsuhiko di kediamannya di Kota Kinabalu, hari ini.
Semalam Hajiji dalam kenyataannya berkata mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keabsahannya yang mendapat sokongan majoriti ADUN boleh membawa masalah itu ke mahkamah.
Menurutnya jika ada pihak yang mempertikaikan kedudukannya sebagai Ketua Menteri mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri Sabah maka, mereka boleh mencabar perkara itu di mahkamah.
“Mana yang tidak puas hati, diorang boleh bawa ke mahkamah untuk buat keputusan,” kata Hajiji yang mengesahkan telah memperoleh surat akuan berkanun (SD) daripada 44 ADUN.
Kemelut politik Sabah semakin bergolak setelah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin membawa parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan Gabungan rakyat Sabah (GRS) dan Hajiji pada Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Langkah Kinabalu itu dilihat pincang dn gagal apabila lima ADUN UMNO dan tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH) kekal memberi sokongan kepada Hajiji.
Mengenai dakwaan Hajiji memiliki sokongan 44 ADUN bagi mengekalkannya sebagai KM, Shafie berkata, majoriti atau bilangan akuan bersumpah (SD) tidak penting.
“Dia (Hajij) ada nombor, kita juga ada nombor. Tidak perlu bercakap mengenai nombor atau SD kerana apa yang penting ialah pematuhan terhadap undang-undang.
“Saya bukan mahu jadi Ketua Menteri, gilakan jawatan. Dari dulu saya sudah ditawarkan menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tetapi bukan itu yang menjadi tuntutan.
“Kita mahu membentuk Kerajaan Perpaduan dan penting untuk kita menterjemahnya. Justeru, saya melihat penting bagi kita melihat dari sudut undang-undang Anti Larangan Bertukar Parti yang sudah dilaksanakan di peringkat Persekutuan.
“Di Sabah, undang-undang itu belum dibentang dan dilaksanakan, maka kalau kita menerima perlakuan (lompat parti) dan menghalalkannya, apakah ia selaras dengan peruntukan di peringkat Persekutuan,” katanya.