
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Kerajaan tidak perlu terburu-buru mengadakan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) kerana masih banyak isu rakyat yang perlu diutamakan terlebih dahulu, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu berkata fokus kerajaan sepatutnya mencari jalan penyelesaian dalam menangani permasalahan dihadapi rakyat dan tidak terus bermain politik kerana ia tidak mendatangkan faedah kepada negara serta rakyat.
“Tak payah lagi nak tekan sesiapa atau nak berkelahi. Tunggu saja sampai hujung penggal, baru pilihan raya akan diadakan… Habis cerita.
“Sementara waktu yang ada ini, kita usahalah atasi apa jua masalah yang ada dalam negara ini. Tak perlulah sebarkan salah orang itu dan orang ini kerana semua itu tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada negara,” katanya dipetik laporan portal SatuBerita.
Sanusi terdahulu melancarkan Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan kepada 358 ketua isi rumah di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena, Kedah, hari ini.
Jelasnya, PAS kekal dengan pendirian bahawa PRU sepatutnya diadakan selepas berakhir penggal ini serta tidak perlu diawalkan.
“Saya rasa di negeri-negeri tak ada isu (nak adakan pilihan raya awal) kerana Kelantan, Terengganu, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor, semuanya buat kenyataan sama iaitu mahu menanti hingga habis penggal.
“Kalau yang nak PRU sangat itu, saya tak tahulah di peringkat mana tetapi saya takutlah nanti mereka kalah lagi teruk. Tunggulah sampai habis penggal dan tak payahlah kalut,” katanya lagi.
Terdahulu, semasa temu bual eksklusif bersama Nikkei Asia baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan yang beliau tetap menunggu waktu sesuai bagi mengadakan pilihan raya walaupun didesak pihak tertentu supaya mempercepatkannya.