
Perikatan Nasional meletakkan Datuk Azman Nasruddin sebagai calon bagi Parlimen Padang Serai.
Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tidak perlu bergaduh untuk menyuruh calon masing-masing menarik diri daripada bertanding di Padang Serai, seeloknya kedua-dua calon gabungan itu yang menarik diri.
Calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin menyindir dua parti yang baharu berkahwin untuk membentuk kerajaan pusat itu supaya berhenti bergaduh berhubung siapa yang sepatutnya menarik diri daripada bertanding.
“Sekarang ini PH dan BN berada dalam satu kerajaan, mana-mana pihak nak tarik diri kalau kedua-duanya lagi elok sebab kedua-duanya bertentangan prinsip perjuangan.
“PH (dengan cara) begini, BN (pula) begini, tapi kita PN kekal dengan prinsip perjuangan, saya yakin pengundi Padang Serai sudah celik dan tahu untuk pilih mana yang boleh membela mereka dalam Parlimen nanti,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.
Terdahulu, calon mewakili PH, Dr. Mohamad Sofee Razak berharap calon BN, Datuk C. Sivaraj memberi laluan kepadanya untuk berlawan dengan PN bagi membolehkan beliau menghadiahkan kemenangan kepada Anwar.
Bagaimanapun, Sivaraj berpendapat Mohamad Sofee yang patut berkompromi memandangkan beliau sudah lebih tiga tahun bekerja di situ berbanding Mohamad Sofee yang baru ‘tiba’ menggantikan mendiang M. Karupaiya.
Dalam pada itu, Azman menempelak pihak lawan yang ketandusan modal ketika berkempen apabila terus memainkan isu beliau dilabel sebagai ‘pengkhianat’.
Beliau menegaskan sudah beberapa kali menjelaskan perkara itu termasuk dalam siri ceramah iaitu perjuangan dalam PH dahulu tidak selari dan seiring dengan jiwa perjuangannya.
“Nampaknya lawan saya kehabisan modal, ketandusan isu, isu itu sudah berlalu, berlarutan lama dan sudah selesai. Hari ini saya bertanding atas tiket PN.
“Saya ambil keputusan untuk bersama PN, jadi nak berlawan gunalah isu yang baik sikit, yang diterima pengundi. Saya yakin rakyat khususnya pengundi saya pada 2018 sedar akan keperluan memilih parti yang prihatin, bersih, stabil dan menjaga keharmonian rakyat berbilang kaum,” katanya lagi.