Tak jejas kerjasama kerajaan pusat walaupun bertembung: Muhyiddin

Walaupun akan berlaku pertembungan antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Tan Sri Muhyiddin Yassin optimis ia tidak akan menjejaskan kerjasama dalam kerajaan pusat.

Pengerusi PN tersebut tidak menolak senario politik yang berlaku adalah luar biasa, namun mengharapkan ia tidak akan menjadi satu masalah besar untuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meneruskan kerjasama dengan Kabinetnya walaupun terdapat perlawanan sesama parti dalam kerajaan di Melaka.

“Saya rasa tidak akan ada masalah besar dan berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat bekerjasama dengan semua anggota Kabinet beliau, tidak kira dari BN atau PN.

“Bagaimanapun, untuk PRN Melaka, keputusan sudah dibuat dan memandangkan setiap gabungan sudah memutuskan untuk bergerak secara sendiri, kami menghormati keputusan itu,” katanya semasa sidang media selepas pengumuman calon PN hari ini.

Jelasnya lagi, biarpun bakal berlaku pertembungan, ia memberi peluang kepada rakyat Melaka untuk membuat pilihan yang terbaik.

“Sekarang menjadi lebih jelas bahawa akan ada pertandingan mungkin tiga penjuru namun saya percaya pengundi Melaka amat mengetahui situasi politik masa ini.

“Mereka juga boleh melihat apa yang PN lakukan sepanjang saya menjadi Perdana Menteri. Jadi saya yakin mereka akan memberi sokongan kuat kepada PN,” katanya.

Berhubung sama ada PN akan mengikut jejak BN yang mewajibkan menandatangani akuan bersumpah (SD), Muhyiddin berkata setakat ini tiada cadangan sedemikian.

“Kita yakin semua calon setia kepada parti masing-masing malah pimpinan parti dalam gabungan PN tahu bahawa setiap calon menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan PN akan bertanding semua 28 kerusi DUN Melaka; Bersatu akan bertanding 15 kerusi, lapan dari PAS dan lima lagi dari Gerakan.

BERITA BERKAIT
POPULAR