Tak gila kuasa macam UMNO, PAS tidak akan bubar DUN di tiga negeri

Tidak mahu mengikuti langkah UMNO yang gila kuasa dan mahu membebaskan pemimpin Kluster Mahkamah, PAS tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri yang diperintah parti tersebut.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata kepentingan dan kebajikan rakyat yang sedang berdepan kesempitan hidup akibat pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang tidak stabil menjadi keutamaan parti tersebut, disamping tidak mahu membazirkan wang rakyat demi kuasa politik semata-mata seperti dilakukan UMNO.

“PAS mengikuti perkembangan semasa politik tanah air, di samping fokus yang perlu diberikan terhadap usaha pemulihan kesihatan dan ekonomi negara yang bakal memasuki fasa endemik.

“Justeru, PAS membuat pendirian supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi negeri Kelantan, Terengganu, dan Kedah tidak akan dibubarkan sehingga tamat tempohnya, bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

PAS sekarang ini menguasai 37 kerusi daripada 45 kerusi DUN Kelantan, manakala di Terengganu, PAS menguasai 22 kerusi daripada 32 DUN.

Bagaimanapun, di Kedah PAS yang menguasai 15 kerusi DUN, membentuk kerajaan negeri Perikatan Nasional dengan sokongan enam wakil rakyat Bersatu untuk mengatasi pembangkang yang memiliki 13 kerusi. Dua wakil rakyat BN turut menyokong kerajaan negeri Kedah.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sebanyak RM420 juta sudah dibelanjakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menguruskan empat pilihan raya negeri (PRN) sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Perbelanjaan SPR bagi pelaksanaan PRN Sabah adalah RM130 juta; Melaka (RM45 juta), Sarawak (RM149 juta), manakala terbaharu di Johor sebanyak RM96 juta. Berita berkaitan 

BERITA BERKAIT
POPULAR