Tak dapat sokongan jadi PM, Anwar kongsi alasan baharu kegagalannya

Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak dapat menerima realiti dan hakikat tidak mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

Gagal menjadi PM Kesembilan selepas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Yaakob mendapat sokongan lebih banyak daripadanya, Presiden PKR itu berkongsi alasan baharu kegagalannya mengisi kekosongan jawatan nombor satu negara semasa kemelut politik yang berlaku tahun lepas.

“Jadi jangan meremehkan kemungkinan dalam politik, dalam pilihan raya ada yang ditaja hanya untuk melemahkan agenda reformis.

“Saya akui tidak mudah. Ya saya belum berhasil penuh. Tapi kalau saya kompromi, saya sudah berhasil.

“Jangan lupa, kalau saya kompromi, saya sudah jadi perdana menteri,” katanya dipetik laporan media hari ini.

Anwar merujuk kepada golongan konglomerat yang mendanai parti politik di Malaysia sebagai penghalang reformasi antirasuah yang dibawanya.

Namun, Ketua Pembangkang itu tidak merujuk secara khusus individu atau menamakan konglomerat yang didakwanya menghalang dirinya menjadi PM.

Mengulas lanjut, Anwar berkata golongan konglomerat tersebut tidak suka dengan pendiriannya yang menentang rasuah dan penyelewengan.

“Saya tentu tidak popular, jadi tokoh-tokoh yang besar susah nak bantu PKR selagi Anwar jadi ketua.

“Terus terang saya boleh berkawan dengan semua, tetapi untuk kompromi soal ini (rasuah), akan menjahanamkan negara kita,” katanya lagi.

Selain itu, kata Anwar lagi, kritikannya berhubung skandal Kertas Pandora juga menyebabkan dirinya hilang sokongan tokoh korporat.

“Speaker larang saya bicara tetapi saya nak bicara sebab ini menyentuh kepentingan negara.

“Berbilion ringgit dibawa keluar dan orang-orang ini sekarang mahu jadi jaguh. Yang hendak menyelamatkan orang-orang Melayu itulah juga yang bawa ratusan juta keluar negara.

“Dia ada penyokong sebab dia ada wang. Sebab dia ada golongan korporat yang akan membantu,” katanya.

Semasa krisis politik tahun lepas, Anwar bersekongkol dengan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Anwar gagal mendapat sokongan majoriti selepas Ahli Parlimen UMNO tidak menyokongnya sebaliknya Ismail Sabri mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.

BERITA BERKAIT
POPULAR