
Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Khairy Jamaluddin Abu Bakar masih belum membuat keputusan untuk kembali ke pentas politik dan masih belum ada kepastian setakat ini.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu dipecat UMNO sebelum ini kerana tidak sehaluan dengan Presiden, Khairy bagaimanapun mengakui tidak dapat lari daripada politik dan terdapat banyak pihak menasihatinya untuk kembali aktif.
“Tolak bertanding dalam PRN (Pilihan Raya Negeri)? Sekali lagi saya tidak pasti, hari itu kita pernah bergurau, 90:10, 80:20 (bertanding PRN) dan sebagainya tetapi setiap hari akan ada pandangan dan nasihat yang berbeza-beza yang sampai kepada saya.
“Walaupun saya bekas ahli politik atau yang sedang berehat, politik adalah sebahagian daripada DNA kami dan tidak boleh lari daripada politik.
“Apa pun perancangan sejak lima bulan lepas dan sebagai contoh saya sudah pasang niat keluar dari dunia politik dan fokus dunia urusniaga dan sebagainya, setiap kali saya jumpa orang dan mereka kata KJ patut masuk balik politik cepat.
“Kalau tidak orang lupa, atau tidak ada rakan dalam perjuangan politik. Itu memang ganggu saya yang sudah buat keputusan dan tiba-tiba saya ada keraguan keputusan tersebut,” katanya dipetik dalam program ‘KeluarSekejap’ di media sosial.
Spekulasi berhubung masa depan Khairy dalam pentas politik menjadi bualan ramai selepas ditawarkan untuk menyertai Bersatu.
Baru-baru ini, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui ada menawarkan jawatan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi kepada Khairy jika beliau mahu menyertai parti itu.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu itu mendedahkan, tawaran berkenaan dikemukakan kepada Khairy selepas bekas Menteri Kesihatan berkenaan dipecat daripada UMNO, pada Januari lalu.