
Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Perikatan Nasional peringkat Negeri Terengganu malam tadi (30 Julai 2022).
Pembahagian kerusi sesama parti komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) menjadi fokus utama yang perlu diselesaikan sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi PN itu berkata tidak boleh lagi menunggu terlalu lama untuk menyelesaikan isu pembahagian kerusi sesama rakan komponen parti dan berharap ia dapat dibincangkan secara bertolak-ansur bagi memastikan jentera parti dapat memulakan gerak kerja dengan lebih awal.
“Mesyuarat Perikatan Nasional yang baru lalu di mana yang mana Tan Sri Tok Guru (Abdul Hadi Awang) hadir bersama dengan saya, kita dah buat keputusan selepas ni kita tak nak lengah-lengah nak duduk runding selesaikan pembahagian kerusi seluruh negara… kerusi Parlimen dan juga negeri-negeri yang akan kita hadapi dalam pilihan raya depan.
“Tak susah, lebih kurang halal. Maknanya bertolak-ansur dan itu kalau dapat selesai jentera parti kita di peringkat bawah, tahu ini PAS punya. PAS punya, tak apa. Bersatu mesti bantu supaya PAS menang. PAS menang, Bersatu menang,” katanya semasa majlis pelancaran PN peringkat negeri Terengganu malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, Presiden Gerakan Dominic Lau dan pemimpin utama parti komponen yang lain.
Muhyiddin membayangkan PN mungkin bertanding semua kerusi yang akan diagihkan sesama rakan parti komponen dan perlu diselesaikan dengan secepat mungkin.
“Ini kerjasama yang hebat dapat kita merterikan, kita bertanding mungkin habis semua ataupun sebahagian kerusi-kerusi yang kita telah agihkan sesama kita.
“Ini PAS punya, ini Bersatu punya, ini Gerakan punya, ini SAPP punya, ini star punya… Kita bereskan seberapa cepat yang mungkin, supaya boleh mula dapat memberikan tumpuan pada setiap kerusi-kerusi yang kita tandingi,” jelasnya lagi.
Menurut Muhyiddin, sasaran utama diletak PN adalah untuk menjadi kerajaan pusat dan bukan setakat mempertahankan kerajaan negeri yang sedia ada ditadbir oleh PAS di Terengganu, Kelantan dan Kedah tetapi perlu memastikan dapat menang di kawasan-kawasan yang lain.
“Ada satu beban tugas besar nak menguruskan pilihan raya bukan saja kita mahu negeri Terengganu menang, Kelantan menang, Kedah menang… Yang sudah menang, kekal menang.
“Tetapi yang juga penting untuk menyelamatkan negara bukan untuk negeri Terengganu, Kedah dan Kelantan sahaja. Nak menyematkan negara, nak menyelamatkan seluruh Malaysia.
“Dan untuk itu kita bentuk kerajaan pusat, kita mahu supaya dapat menang dengan membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.
Untuk rekod, PN ialah gabungan parti politik rasmi yang terdiri daripada lima parti komponen yang didaftarkan pada 7 Ogos 2020.