Tak berbincang bersama DAP dan Amanah runding kerusi beri MUDA, mana Anwar hilang?

DAP dan parti Amanah berbincang bersama dalam isu pembahagian kerusi kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang dimuktamadkan baru-baru ini tanpa melibatkan rakan parti satu lagi, PKR.

Keputusan DAP dan Amanah menyerahkan kerusi kepada MUDA tanpa kelibat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama pada Rabu lalu menimbulkan banyak tanda tanya adakah beliau masih lagi Ketua Pembangkang dan adakah masih layak untuk memegang jawatan tersebut?

Seorang pemimpin tertinggi semasa menghadiri sidang media mengumumkan akan memberi laluan kepada MUDA di enam kawasan diperuntukkan kepada mereka mendedahkan punca Anwar tidak berada semasa mesyuarat tersebut, namun meminta dirahsiakan identitinya demi menjaga air muka Anwar.

Menurut sumber pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) itu, perbincangan itu diadakan melibatkan pemimpin DAP bersama Amanah dengan MUDA tanpa melibatkan PKR kerana mereka sudah tidak tahu cara untuk berunding dengan Anwar lagi dan seakan lihat sudah berputus asa dengan beliau.

Anwar dilihat enggan berkompromi untuk memberikan kerusi kepada MUDA untukm bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, malah tindakan DAP dan Amanah juga tidak disenangi kerana dilihat tidak menghormati partinya, PKR.

“Kami sudah tidak tahu bagaimana cara untuk berunding dengan Anwar, pening kepala untuk menguruskan Presiden PKR itu yang dilihat membuat keputusan membelakangi parti pembangkang lain terutamanya kami Amanah dan DAP,” kata sumber selepas mesyuarat tersebut.

Anwar mahupun wakil PKR tidak hadir mesyuarat yang diadakan tersebut.

Tindakan Anwar juga semakin menimbulkan tanda tanya dikalangan pemimpin DAP dan Amanah selepas keputusan PKR untuk menggunakan lambang mereka sendiri pada PRN Johor dan bukannya lambang rasmi, PH.

Walaupun ketiga-tiga parti itu cuba menjelaskan tiada perpecahan antara mereka, namun realitinya gabungan pembangkang itu sudah berantakan dan tidak lagi sehaluan.

Ketiga-tiga parti itu cuba menonjolkan masih wujud keharmonian antara parti pembangkang, namun pandangan umum sudah melihat bibit perpecahan yang berlaku sejak PRN Melaka dan berlarutan sehingga PRN Sarawak yang lalu.

Kemuncaknya pada PRN Johor apabila PKR membuat keputusan yang mengejutkan banyak pihak.

Kenyataan Anwar berhubung isu penggunaan lambangnya juga tidak masuk akal apabila cuba menjauhkan diri dengan rekod pentadbiran kerajaan PH semasa menjadi kerajaan pusat sebelum ini.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad kemudiannya mendedahkan parti memutuskan menggunakan lambang pilihan raya sendiri pada PRN Johor kerana lambang PH dibayangi era 22 bulan pentadbiran mereka sebagai kerajaan Pusat.

Dalam satu ciapan Twitter, Ahli Parlimen Setiawangsa itu menjelaskan di sebalik pentadbiran kerajaan PH mempunyai pencapaian, ia turut dibayangi kekurangan termasuk kebangkitan ‘pengkhianat’ dalam PKR yang membawa kepada kejatuhan kerajaan berkenaan.

Bahkan, Nik Nazmi sendiri mengakui penggunaan lambang pilihan raya PH tidak benar-benar membantu gabungan itu pada PRN Melaka.

Bagaimanapun, bagi sebilangan pemerhati politik tempatan, polemik terkini yang melanda PH mengesahkan isu ketidaksepakatan dan ketiadaan muafakat utuh di antara parti-parti dalam PH yang berlaku sekian lama.

Menurut sumber, perkara yang tidak masuk akal dan tidak boleh diterima DAP dan Amanah adalah berhubung rundingan Anwar yang masih berterusan dengan pihak UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kami tidak faham kenapa Anwar masih berunding dengan UMNO dan BN… Ini sukar untuk kami fahami, walaupun dia (Anwar) menafikan tetapi berdasarkan maklumat tertentu kami boleh mengesahkan wujud rundingan dengan UMNO dan BN antara Anwar.

“Anwar tidak menjelaskan kepada kami berhubung isu tersebut dan ia menimbulkan banyak tanda tanya dikalangan pemimpin DAP dan Amanah,” kata sumber lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR