
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Foto kredit UMNO Online
UMNO tidak akan memecat Ahli Parlimen (MP) yang menandatangani surat akuan berkanun (SD) menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Walaupun nama 10 MP UMNO-Barisan Nasional (BN) didedahkan semasa taklimat khas tetapi parti tersebut tidak berani mengambil tindakan untuk memecat wakil rakyatnya yang dilabel sebagai pengkhianat kerana takut kemungkinan kalah sekiranya pilihan raya ceci terpaksa diadakan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengesahkan tiada tindakan akan diambil terhadap semua MP BN-UMNO tersebut dan hanya akan memantau mereka sekiranya masih melanggar peraturan parti.
“Tetapi saya akan bersama-sama lembaga displin parti untuk melakukan pemantauan terhadap pendirian yang ada skrg, dan juga sama ada mereka (terlibat) melakukan mana-mana gerakan,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Semalam, Zahid dilaporkan mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO menandatangani SD menyokong pelantikan Muhyiddin.
MP UMNO-BN yang didedahkan Zahid semalam adalah, MP Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, MP Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah); Datuk Shamshulkahar Deli (Jempol); Hasni Mohammad (Simpang Renggam); Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis); Datuk Isam Isa (Tampin); Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Itam) dan Datuk Seri Wee Jack Seng (Tanjong Piai).
Pendedahan itu dibuat Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di WTC Kuala Lumpur.