
Kritikan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mencetuskan kekecohan dalam Dewan Rakyat.
Ekoran tuduhan tidak menghormati kaum wanita, Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak berpuas hati dan membalas kritikan tersebut terhadap DAP.
Tajuddin menyifatkan tuduhan tersebut tidak wajar walhal banyak dilakukannya dalam membantu wanita dan membidas wanita DAP sebaliknya tidak senonoh kerana suka mencetuskan provokasi.
“Jangan senang-senang tuduh kita tak hormat wanita, kita banyak membantu wanita…tolong ajar sikit.
“Hanya perangai wanita DAP tidak senonoh, bukan semua tetapi sebahagian daripada kamu…mulut jahat, kaki cucuk, kaki hasut, kaki cabar Speaker,” katanya di Dewan Rakyat.
Tindakan Tajuddin menyebabkan Dewan Rakyat gamat apabila Ahli Parlimen pembangkang bangkit mempertikaikan kenyataan tersebut.
Dewan menjadi panas semasa sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual apabila Tajuddin mencelah ketika Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) sedang berbahas, dan membidas dakwaan daripada Teo Nie Ching (PH-Kulai) bahawa beliau sering membuat kenyataan berbaur seksi kepada Ahli Parlimen wanita.
P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) kemudiannya meminta Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengambil tindakan terhadap Tajuddin.
RSN Rayer (PH-Jelutong) turut meminta Tajuddin menarik semula kenyataannya yang didakwa menjatuhkan maruah wanita dan mempersoalkan tindakan Timbalan Yang Dipertua yang tidak berani mengarahkan Ahli Parlimen Pasir Salak itu keluar.
Mohd Rashid kemudiannya memberi amaran kepada Tajuddin supaya tidak mengulangi kenyataannya itu dan meminta ahli Parlimen yang tidak berpuas hati supaya membuat usul.
Semalam, ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual, Nie Ching mendakwa sekurang-kurangnya ada tiga Ahli Parlimen iaitu Kinabatangan, Pasir Salak dan Baling sering membuat kenyataan berbaur seksis kepada wakil rakyat wanita di dalam Dewan Rakyat.