
Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dicadangkan supaya menumpukan perhatian terhadap kes perbicaraan mahkamah yang dihadapinya kerana terlalu banyak, kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu membalas kritikan terhadap Zahid selepas digugurkan daripada jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO baru-baru ini dengan menyifatkan beliau tidak mampu menjaga parti besar orang Melayu itu pada ketika terpalit dengan puluhan kes mahkamah yang masih dalam perbicaraan.
“Saya nak cadangkan Zahid Hamidi tumpu kepada kes-kesnya (mahkamah) yang banyak.
“Tak mampu dia nak jaga parti yang besar ini dan kita nak menghadapi pilihan raya… lebih baik tumpukan dan selesaikan masalah dia, kita doakan yang terbaik permudahkan urusan dia,” katanya semasa sidang media hari ini.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan baru-baru ini memberi alasan pemecatan Tajuddin sebagai ahli MT bagi memberinya peluang untuk menumpukan kepada tugasan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.
Tajuddin juga menggesa supaya Zahid tidak mengheret masalah peribadinya sehingga membebankan parti sendiri.
“Jangan masalah peribadi dia itu membebankan parti UMNO, itu yang sedang berlaku,” katanya lagi.
Tajuddin juga menyifatkan Zahid kini sudah menjadi liabiliti kepada UMNO dan tidak layak lagi menjadi Presiden parti tersebut.
“Zahid Hamidi ini sudah jadi liabiliti kepada UMNO, dia tidak boleh jadi Presiden.
“Jika dia jadi Presiden menggepalai dalam pilihan raya, UMNO akan kalah,” katanya lagi.
Tajuddin baru-baru ini disingkir sebagai ahli MT UMNO dan tempatnya digantikan dengan pengikut Datuk Seri Najib Razak, Isham Jalil.
Zahid berkata pengguguran Tajuddin disebabkan tindak-tanduk beliau ketika mengkritik parti.