
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menjawab dakwaan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) parti susulan pelantikannya sebagai duta Malaysia ke Indonesia.
Ahmad berkata Ahli Parlimen Pasir Salak itu kini boleh menumpukan tanggungjawabnya sebagai duta.
“Bagi saya, apa yang telah diputuskan oleh parti adalah untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menumpukan tugasnya sebagai duta negara ke Indonesia.
“Datuk Seri Tajuddin diberi peluang untuk menumpukan sepenuhnya tanggungjawab sebagai duta kerana tugas sebagai ahli MT menjelang pilihan raya umum juga menuntut tumpuan sepenuhnya.
““Jadi, Datuk Seri Tajuddin tidak boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada duta (tugas) semasa menjadi ahli MT pada masa yang sama kerana itu akan menjadi sukar baginya.
“Jadi kami memutuskan untuk berlaku adil kepadanya, kerana berkhidmat untuk negara adalah sentiasa menjadi keutamaan,” katanya ditemui media pada pelancaran Pameran Kerja Belia Barisan Nasional (BN) 2022 hari ini.
Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan menggugurkan Tajuddin adalah keputusan yang wajar.
Zahid bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci alasan penyingkirkan tersebut sebaliknya meminta media bertanya sendiri kepada Tajuddin.
“Dalam hal ini, saya sangat berlapang dada, jika secara peribadi (keputusan) saya tidak dipersetujui, secara peribadinya. Tetapi apabila keputusan parti tentukan, maka kita harus menerima apa saja keputusan yang dibuat oleh parti.
“Saya fikir, tanyalah diri beliau sendiri. Tidak adil kalau saya memberi tahu secara umum kenapa, tetapi tentunya beliau tahu apa yang beliau lakukan kepada parti.
“Itu sebabnya (Tajuddin digugurkan). Kena tanya beliau sendiri apa kenyataan yang beliau sudah buat. Apakah bahan ucapan beliau atau ceramah atau bahan yang sudah dinyatakan dalam mesyuarat tertutup. Tanya beliau sendiri,” kata Zahid dipetik laporan media.