Taikun ahli MCA bidas Najib bawa ajaran ‘Bossku’ menyimpang ajaran Islam

Seorang taikun hartanah membidas bekas Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak yang didakwanya membawa ajaran dengan slogan ‘Bossku’ yang menyimpang daripada ajaran agama Islam.

Taikun, Tan Sri Lee Kim Yew dalam satu surat yang ditulisnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membidas Najib dengan berkata slogan “Malu Apa Bossku” bertentangan dengan “ajaran Islam” dan perlu dihentikan, menurut laporan portal FMT.

Surat itu dihantar kepada Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh baru-baru ini.

Surat itu diutus atas kapasitinya sebagai ahli MCA, mempersoalkan kempen Najib pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor itu walaupun sudah disabitkan bersalah dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Najib, yang membuat rayuan terhadap sabitan itu diperingkat Mahkamah Persekutuan menggunakan banyak isu berkaitan kes mahkamahnya untuk menarik perhatian orang ramai ketika berkempen di Johor.

Kim Yew dalam surat itu mendakwa Najib mempunyai “bajet yang besar” untuk meningkatkan imejnya dengan poster yang lebih besar daripada mana-mana calon.

Beliau menggesa SPR harus meneliti perkara itu bagi mengelakkan rakyat terus dikelirukan dengan helah dan dakyah politik demi kepentingan peribadinya.

“Jika semua rakyat Malaysia belajar untuk menjadi ‘tak malu’ seperti beliau, maka apa gunanya mengadakan pilihan raya? Apakah jenis bakat atau pemimpin yang dipersiapkan SPR untuk negara?” katanya yang baru-baru ini berkempen bersama Pengerusi Parti Pjuang Tun Dr Mahathir Mohamad di Ayer Hitam.

Katanya, inilah sebabnya SPR tidak sepatutnya membenarkan tagline “Malu Apa Bossku?” dalam mana-mana pilihan raya.

Sebelum ini, Kim Yew ketika berkempen dengan Mahathir, membidas Najib, dan menggesa anggota masyarakat supaya tidak bercampur dengan “orang yang sudah disabitkan bersalah oleh mahkamah”.

BERITA BERKAIT
POPULAR