
Tular surat pemecatan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
UMNO menafikan memecat Datuk Seri Hishammuddin Hussein selepas tular sekeping surat yang didakwa melucutkan keahlian Ketua UMNO Bahagian Sembrong itu dalam media sosial.
Dalam satu kenyataan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata surat yang tular tersebut palsu dan disebarkan untuk tujuan memfitnah pimpinan parti itu.
“Saya sahkan tiada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO diadakan hari ini apatah lagi pelucutan keahlian. Ini semua palsu dan fitnah jahat,” katanya.
Pada petang Jumaat, sepucuk surat tular yang mendakwa Hishammuddin dilucutkan keahlian UMNO serta-merta.
Sebelum ini, turut tular dakwaan yang mengatakan Hishammuddin sedang melakukan penjajaran politik baharu.
Terdahulu, Hishammuddin menyangkal laporan portal yang kononnya beliau akan diangkat menjadi Perdana Menteri ke sembilan bagi mengantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Luar itu berkata, laporan sebuah portal mesra Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanyalah bersifat khabar angin.
Sehubungan itu, tegasnya beliau tidak mahu melayan laporan berkenaan kerana fokusnya sekarang adalah memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terpelihara.