Sulaiman boneka Rauf, pencalonan KM tak selesai masalah: Idris

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Seri Idris Haron menyifatkan keputusan UMNO meletak Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri (KM) Melaka tidak akan menyelesaikan masalah krisis politik di negeri itu.

Idris yang dipecat daripada UMNO kerana menarik sokongan terhadap Sulaiman sebelum ini berkata calon KM tersebut akan kekal menjadi boneka kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh yang akan berterusan membolot hasil kekayaan negeri itu.

Jelas beliau lagi, keputusan menarik sokongan yang dilakukannya bersama tiga bekas ADUN lagi adalah berpunca daripada Rauf yang mengawal Sulaiman dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri tetapi nampaknya UMNO masih tidak belajar daripada kesilapan lagi apabila masih lagi mengulangi langkah sama.

“Macam manalah saya duduk ni dengan dengan orang kampung ni, bertanya eh Tok (Datuk) kata bukankah Datuk tarik sokongan dulu pasal dia (Sulaiman) ni jadi boneka Rauf, Pengerusi Perhubungan.

“Saya kata iyalah, tapi yang ini UMNO tolak (calonkan) lagi orang ini (Sulaiman) jadi Ketua Menteri macam mana ni? Tak selesai masalah ni, dia (orang kampung) katakan,” katanya dalam wawancara sebuah portal malam tadi.

Idris berkata situasi tersebut menunjukkan rakyat dibawah melihat UMNO tidak belajar daripada kesilapan apabila masih tunduk kepada Rauf yang didakwanya menjadi punca kepada kemelut politik di Melaka.

“Maknanya rakyat berfikir. Isu sebenarnya adalah ketakcekapan, isu sebenarnya adalah rasuah, isu sebenarnya adalah melibatkan urus tadbir… Tapi sekarang kamu mencadangkan nama orang sama.

“Jadi saya pun tepuk dahi,” katanya lagi.

Idris adalah antara empat ADUN yang menarik sokongan terhadap Sulaiman sehingga menyebabkan kerajaan UMNO Melaka tumbang dan DUN dibubarkan pada 4 Oktober lalu.

Tiga lagi bekas ADUN yang menarik sokongan itu ialah Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Idris mendakwa Ab Rauf merosakkan imej UMNO, ia disamping mengawal Sulaiman dalam pentadbiran kerajaan negeri Melaka.

Susulan tindakan Idris tersebut, Rauf memecatnya dari UMNO. Bagaimanapun Idris dan seorang lagi rakannya, Nor Azman diambil bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR