Sukar untuk PH dan PN bekerjasama, kata Saifuddin

Mustahil Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dapat menjalin kerjasama untuk berdepan pilihan raya umum (PRU) nanti, kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha PH itu berkata PH mempunyai strategi politik berbeza dan memiliki kekuatan tersendiri untuk memenangi PRU walaupun tanpa menjalin kerjasama dengan mana-mana gabungan politik lain.

“Misalnya PRU 2018, latar belakangnya adalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kos sara hidup yang tinggi.

“Tetapi, latar belakang PRU akan datang mungkin pandemik Covid-19, kesan kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

“Oleh kerana PRU berbeza, PH sebagai sebuah pakatan politik akan sentiasa melakukan strategi dan pendekatan politik yang sesuai dengan keperluan semasa,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Terdahulu, terdapat cadangan supaya PH dan PN bergabung untuk melawan UMNO dalam PRU nanti.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, pihaknya akan menghormati pandangan mana-mana individu untuk memberikan pendapat.

“Saya menghormati, tetapi pimpinan PH akan sentiasa mengamalkan strategi politik yang anjal dan fleksibel sesuai dengan keadaan,” jelasnya.

PH khususnya PKR tewas teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, ia mengundang pelbagai kritikan dan kecaman khususnya terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menjadi serangan pemimpin DAP dan Amanah kerana dianggap sebagai punca kekalahan teruk dalam PRN Melaka.

Antara langkah salah diambil Anwar adalah mempertahankan calon “katak berprinsip” dengan meletak calon bertanding atas tiket PH walaupun sebelum ini bertindak keluar parti.

Terdahulu, Parti Warisan juga mengumumkan secara rasmi masuk ke Semenanjung dan menjadi parti nasional, ia juga bakal memberi tamparan kepada Anwar kerana Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal juga mahu menjadi Perdana Menteri.

BERITA BERKAIT
POPULAR