SUK Melaka nafi dakwaan wujud campur tangan pihak ketiga

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Kamel Mohamad menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron berhubung wujudnya campur tangan pihak ketiga dalam urusan dan keputusan yang dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Menurut Kamel, sebarang keputsuan yang dibuat adalah muktamad dan merupakan keputusan bersama.

“Merujuk kepada dakwaan khusus bahawa terdapat campur tangan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) dan dakwaan keputusan MMKN perlu dirujuk kepada pihak ketiga sebelum dilaksanakan, pentadbiran kerajaan negeri Melaka menafikan dakwaan tersebut.

“Adalah tidak benar segala keputusan perlu dirujuk kepada pihak ketiga sama ada sebelum, semasa dan selepas mesyuarat,” katanya dalam laporan Bernama.

Selain itu, Kamel berkata pentadbiran kerajaan negeri Melaka juga memandang serius tohmahan Idris bahawa MMKN mengamalkan dasar terpilih yang memihak kepada satu-satu kaum dalam membuat keputusan, sebaliknya sentiasa mengambil kepentingan semua rakyat negeri Melaka tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau berkata pentadbiran kerajaan negeri Melaka juga ingin memaklumkan bahawa setiap Ahli MMKN telah mengangkat sumpah kerahsiaan ‘untuk tidak memberitahu atau tidak menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau secara tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan MMKN’.

“Dalam hubungan ini kerajaan negeri Melaka sedang meneliti sama ada terdapat pelanggaran ke atas sumpah kerahsiaan tersebut dan sekiranya terdapat pelanggaran, kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Kamel memaklumkan bahawa Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengetuai kerajaan sementara Melaka dan dibantu oleh Ahli-Ahli  MMKN yang sedia ada.

Katanya, Ahli MMKN yang terlibat akan menjalankan tugas masing-masing kecuali mereka yang telah meletak jawatan.

Pembentukan kerajaan sementara itu adalah susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam pada 4 Oktober lepas.

Ia berikutan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman, yang mengetuai kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN).

Kamel berkata walaupun Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan sementara, namun berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel, ia hanya berfungsi untuk mentadbir sesebuah negara atau negeri sehingga satu kerajaan baharu dibentuk.

“Dalam hal ini, kerajaan sementara tidak boleh membuat apa-apa keputusan dan dasar yang boleh mengikat atau mengambil apa-apa tindakan yang boleh memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu yang bakal dibentuk, melainkan tindakan tersebut perlu dilaksanakan demi kepentingan awam.

“Bagi maksud itu, kerajaan sementara boleh mengambil tindakan-tindakan iaitu menjalankan tugasan rasmi rutin, termasuk menjalankan kuasa yang diberi di bawah undang-undang bagi memastikan jentera kerajaan negeri berfungsi; mengadakan mesyuarat rasmi berhubung urusan pentadbiran kerajaan negeri.

“… Meneruskan pelaksanaan dasar dan program sedia ada iaitu peruntukan kewangan baginya telah disediakan; membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji yang mana dasar telah diluluskan oleh kerajaan negeri atau peruntukan mengenainya telah diluluskan oleh DUN seperti Belanjawan tahun semasa,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR