Sudah tiga kali Zahid umum MT UMNO tarik sokongan

“Ini bukan kali pertama (sebaliknya) sudah tiga kali Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengumumkan menarik balik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“(Dan) keadaan sekarang pun tidak jelas kecuali jika ramai Ahli Parlimen UMNO yang keluar PN ia menunjukkan kerajaan hilang majoriti,” kata Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Presiden UMNO, Zahid Hamidi petang tadi bahawa mereka menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Muhyiddin, selepas selesai mesyuarat tergempar hari ini.

Menurut Zahid, surat Akuan Ahli-ahli Parlimen (MP) UMNO yang bersama menarik sokongan tersebut sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai bukti kerajaan PN sudah hilang sokongan majoriti.

Mengulas lanjut, Mohd Azizuddin berkata keadaan ketika ini belum jelas walaupun MT UMNO membuat pendirian mereka hari ini.

“Mengikut sistem demokrasi, PM akan minta Parlimen dibubarkan untuk adakan Pilihan Raya Umum (PRU),” katanya dipetik daripada laporan BHOnline hari ini.

Menurutnya bagi memastikan PN dapat terus menjadi kerajaan, gabungan itu perlu meraih sokongan daripada parti lain seperti Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan parti dalam Pakatan Harapan (PH).

“Perkara ini terpulang kepada Perdana Menteri. Beliau boleh cuba raih sokongan daripada parti lain untuk kekalkan kedudukan.

“Tetapi keadaan ini mungkin agak sukar kerana semalam, Ahli Parlimen pembangkang melakukan protes sekali gus memperlihatkan sukar untuk kemungkinan ini berlaku,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr P Sivamurugan berkata kerajaan PN masih belum terkubur walaupun MT UMNO mengumumkan menarik sokongan sepenuhnya.

“Jika strategi UMNO kali ini betul, mungkin boleh dilakukan rundingan untuk Ahli Parlimen mereka dilantik menjadi PM. Sebagaimana kita ketahui, UMNO tidak mahu Perdana Menteri dilantik daripada Bersatu.

“Maka, jika kali ini dapat dibuat rundingan dan tawar menawar, mungkin UMNO boleh naik (jadi Perdana Menteri), sekali gus menyelamatkan PN,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR