Sudah lah Shahidan tak payah lagi buat kecoh, kata Tajudin

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pecat Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Datuk Seri Shahidan Kassim perlu berhenti daripada mencetuskan kekecohan dengan memainkan isu pemecatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis untuk meraih simpati, kata Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Pengarah Pilihan Raya UMNO itu membidas Shahidan sebagai tidak menghormati Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan keputusan memecatnya adalah langkah sewajarnya yang perlu dilakukan bagi memberikan peringatan kepadanya supaya tidak melanggar etika kepartian.

“Apa keaibannya? sudahlah, tak payah lagi buat kecoh. Orang dah tahu siapa dia, nampak langsung tidak hormati Presiden, nak tonjolkan diri sebagai jaguh,” katanya.

Tajuddin juga menafikan dakwaan Ahli Parlimen Arau itu sebelum ini mengatakan Zahid sedang berusaha menjalinkan kerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas tular klip audio sebelum ini dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas.

“Tak pergi kemana pun. Nak adakan kerjasama dengan Anwar ini langsung tak berbangkit. Tak ada bincang langsung, apa yang nak ditimbulkan.. benda itu tak ada.

“Bukan takat itu sahaja, dia mencabar Presiden, keputusan Perhimpunan Agung UMNO, cabar kepimpinan Presiden, dia tak sedar. Kesian dia, kalau terus bersikap begitu, rugi diri dia sendiri,” katanya lagi.

Shahidan semalam telah digugurkan jawatannya daripada Pengerusi Perhubungan Negeri Perlis dan digantikan dengan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.