Strategi UMNO menang besar PRN, bawa keluar semua pengundi putih: Mat Hasan

UMNO akan membawa keluar semua pengundi teras mereka pada hari tibanya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk memastikan kemenangan besar menjadi milik Barisan Nasional (BN) nanti, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata perkara yang penting semasa tiba hari mengundi nanti adalah semua jentera parti berusaha untuk membawa keluar pengundi teras dan totok yang setia kepada parti itu untuk mengundi bagi memastikan kemenangan menjadi milik BN pada 12 Mac nanti.

Yang paling penting, kita buat kajian di akar umbi dan kita tahu sikap pengundi serta bawa seramai mungkin mereka keluar mengundi.

“Ramai cakap (mereka) menyokong BN, tetapi tidak keluar mengundi, tidak gunalah juga. Jadi penting pada 12 Mac ini (kita) mengeluarkan seramai mungkin pengundi putih yang telah kita kenal pasti untuk mengundi BN,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Berhubung peluang BN untuk memenangi PRN Johor, Mohamad berkata mereka yakin akan memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri dan memerlukan sedikit kerja keras untuk memastikan memperoleh kemenangan yang lebih selesa.

“Untuk melepasi 28 kerusi (majoriti mudah), saya fikir kita boleh.

“Tetapi hendak kata dua pertiga itu, sukar untuk saya mengagak lagi. Tetapi bagi saya, kita kena cross the line first. Kita lepasi garisan penamat (28 kerusi DUN) itu dahulu,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, simulasi awal atau raptai (dry run) sebelum PRN Johor pada 12 Mac sudah dijalankan BN dan mendapati mereka berpeluang cerah untuk menang besar, bagaimanapun perlu sekali lagi menjalankan bagi mendapat kepastian yang jelas keputusan yang bakal diperoleh mereka.

“Bagi saya, jika buat anggaran dan jangkaan itu, mesti setelah kita betul-betul dapat unjuran dan petunjuk tepat (kerusi DUN yang akan dimenangi).

“Walaupun kita dah buat dry run (Johor) election yang pertama, tetapi saya masih belum puas hati. Kita akan buat dry run yang kedua minggu depan.

“Selepas selesai (baru) saya boleh dapat gambarannya. Walau bagaimanapun, daripada pemerhatian dan apa yang saya dapati, dengan yakin saya katakan yang UMNO dan BN berada dalam kedudukan terbaik untuk kita cross the line,” katanya lagi.

Untuk rekod, BN mengumumkan UMNO akan diwakili 37 calon, sementara MCA akan meletakkan 15 calon dan MIC empat calon pada PRN Johor kali ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR