
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir pada perbicaraan kes rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. - Gambar Reuters
Kedudukan Datuk Seri Najib Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan setakat ini masih tidak berubah, kata Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Azhar dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat dengan mengambil kira permohonan pengampunan yang dikemukakan bekas Perdana Menteri itu yang pertama kali dalam sejarah dihukum penjara kerana terlibat dalam salah laku rasuah dan penyelewengan wang negara.
“Mengambil kira permohonan pengampunan yang telah dibuat sebelum ini dan juga usul berkenaan semakan kehakiman yang difailkan, maka status Najib Razak sebagai Ahli Parlimen pada masa ini tidak berubah.
“Ia akan hanya dimuktamadkan selepas kedua-dua permohonan pengampunan dan usul tersebut dibereskan,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Azhar juga memberitahu sudah menerima dokumen tambahan berkaitan kedudukan Najib yang dihantar Tetuan Shafee & Co bertarikh 7 September 2022 mengenai permohonan Semakan Jenayah (Review) menurut Kaedah 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 kepada Mahkamah Persekutuan.
“Yang turut dilampirkan dokumen Notis usul bertarikh 6 September 2022, afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 6 September 2022 dan perakuan segera bertarikh 6 September 2022.
“Salinan surat iringan Tetuan Shafee & Co bertarikh 6 September 2022 menunjukkan pengakuan pihak Mahkamah Persekutuan menerima pemfailan permohonan Semakan Jenayah terbabit pada 6 September 2022,” katanya lagi.
Azhar berkata, beliau sudah meneliti usul terbabit dan mendapati bahawa ia satu prosiding mahkamah berkenaan dengan sabitan dan hukuman terhadap Najib dan tergolong dalam “prosiding dengan mahkamah yang lain berkenaan dengan sabitan dan hukuman” seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 48 (4) (b) Perlembagaan Persekutuan (PP).
“Oleh kerana usul ini difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022, berdasarkan Perkara 48 (4)(b) PP, kuat kuasa kehilangan kelayakan Najib hanya akan berlaku setelah usul terbabit dibereskan.
“Mengambil kira permohonan pengampunan yang sudah dibuat sebelum ini dan juga usul terbabit di atas difailkan, maka status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan selepas kedua-dua permohonan pengampunan dan usul terbabit dibereskan,” katanya.
Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang individu hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabit kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 serta dia tidak mendapat pengampunan bebas.
Namun, Perkara 48(4)(c) pula memperuntukkan jika petisyen pengampunan difailkan Ahli Parlimen berkenaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan, kehilangan kelayakan Ahli Parlimen itu hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan dibereskan.