Srikandi Bersatu minta 30 kerusi hadapi PRU15

Sayap wanita Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Srikandi Bersatu, berharap diberi 30 peratus kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) akan datang.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun berkata permintaan itu berdasarkan langkah berani Perikatan Nasional (PN) mengetengahkan Naib Ketua Srikandi yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka pada Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini.

Menyampaikan Ucapan Dasar ‘Srikandi Waja Negara’ pada Perhimpunan Agung Tahunan kali ketiga sempena Perhimpunan Agung Tahunan keempat Bersatu, beliau berkata langkah itu juga menunjukkan kepemimpinan wanita mendapat pengiktirafan.

“Ini menunjukkan kepimpinan wanita diiktiraf dan diberi kepercayaan memimpin negeri dan negara. Srikandi menaruh sepenuh keyakinan agar peranan wanita dalam politik dapat terus diperkasakan, digemilangkan lagi bagi memperkukuhkan proses libat urus bersama kaum wanita di negara ini.

“Justeru, saya dengan ini mencadangkan untuk PRU15 akan datang, 30 peratus calon mestilah datang daripada kalangan Srikandi bagi memperkasakan dan memartabatkan kepimpinan daripada kalangan wanita sepertimana keyakinan sama diletakkan terhadap sayap Srikandi di PRN Melaka baru-baru ini,” katanya.

Rina yang juga Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyokong penubuhan sayap Srikandi Muda sebagai penggerak mendekati golongan beliawanis, dan pelapis parti.

Beliau berkata Srikandi Muda sebelum ini hanya merupakan sebuah biro wanita dalam kalangan beliawanis yang menjadi sukarelawan membantu program Srikandi.

“Sudah tiba masanya biro ini diangkat untuk menjadi salah satu sayap dalam parti Bersatu. Saya percaya sayap keempat ini pasti akan mengukuhkan lagi parti, membolehkan Bersatu terus terbang lebih tinggi dengan mendampingi golongan beliawanis menerusi program dan platform yang sesuai dengan usia mereka,” katanya.

Pada 16 Disember lalu, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata penubuhan sayap Srikandi Muda akan melibatkan pindaan Perlembagaan Bersatu yang bakal dimuktamadkan pada perhimpunan kali ini.

Selain itu, Rina mengumumkan penubuhan Tabung Kebajikan Srikandi bagi membantu dan membela nasib Srikandi yang kehilangan suami dan sumber mata pencarian, khususnya akibat pandemik Covid-19.

“Sebagai dana permulaan, saya sendiri akan menyumbangkan RM50,000 untuk diagihkan kepada Srikandi yang kehilangan suami dan sumber pendapatan akibat pandemik Covid-19 yang melanda.

“Lebih manis, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia juga telah bersetuju untuk menyumbangkan sebanyak RM50,000 ke dalam Tabung Kebajikan Srikandi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar setiap Srikandi Negeri, Bahagian dan Cawangan menubuhkan satu Unit Media Baharu yang bakal melaksanakan kerja mempromosi parti melalui platform media sosial secara aktif.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi kali ketiga di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara hari ini.

Antara ahli Srikandi Bersatu yang hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Srikandi kali ketiga di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR