
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata SPRM boleh menyiasat PAS sekiranya ada keperluan.
PAS berharap segala tindakan sama ada oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis, terutama dalam menyiasat akaun parti itu, tidak bersifat politik atau memilih.
Naib Prfesidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS sentiasa terbuka dan sedia memberi kerjasama sekiranya SPRM mahu menyiasat akaun parti berkenaan.
Bagaimanapun katanya, ia menjadi sukar dan masalah buat parti tertentu sekiranya akaun dibekukan memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) semakin dekat.
“Apa yang saya lihat, kerajaan (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) hari ini seolah-olah mahu membalas dendam terhadap Perikatan Nasional (PN),” katanya
Media sebelum ini melaporkan, beberapa akaun milik Bersatu masih lagi dibekukan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata siasatan masih berjalan dan pembekuan akaun belum dibatalkan.
Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah simpanan dalam akaun yang dibekukan SPRM kerana pegawai penyiasat masih dalam proses melaksanakan tugas.
Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu berkata SPRM boleh menyiasat PAS sekiranya ada keperluan.
“Namun kita berharap segala tindakan sama ada daripada SPRM atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bersifat politik dan memilih.
“Kalau bercakap soal duit, semua parti menerima sumbangan. Tiada parti yang boleh hidup dengan sendiri.
“Jadi kalau nak siasat, siasat semua dan sekiranya terdapat salah laku, boleh ambil tindakan,” katanya menurut BH.