SPR tetapkan 2 Disember bagi PRK Kemaman, anggaran kos RM3.5 juta

October 17, 2023 · Politik

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Dis ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 18 Nov dan 28 Nov, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di sini bagi membincangkan tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kemaman.

PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ia selepas pihak pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 3 Okt lepas, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.

“PRK Parlimen Kemaman, Terengganu memerlukan peruntukan RM 3.5 juta,” kata Abdul Ghani.

Menurutnya seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu tujuh penolong pegawai pengurus dan 2,102 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Kemaman.

Beliau berkata lima pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya juga ditubuhkan yang dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan calon bertanding bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Katanya tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 18 Nov ini hingga 11.59 malam, 1 Dis.

Menurutnya Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Parlimen Kemaman adalah seramai 141,790 orang terdiri daripada 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan pasangan serta 12 pengundi tidak hadir luar negara.

DPPR bagi PRK tersebut akan mula dijual pada 14 Nov ini.

Abdul Ghani berkata Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan bagi PRK Parlimen Kemaman adalah Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman.

“Sebanyak 49 pusat mengundi biasa yang mengandungi 244 tempat mengundi atau saluran dan empat pusat mengundi awal yang mengandungi empat tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan,” katanya.

Pengundi boleh membuat semakan untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/7218/7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Semakan maklumat pengundian akan dibuka pada 14 Nov ini.

Abdul Ghani berkata SPR menyeru bakal calon yang bertanding dalam PRK Parlimen Kemaman supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Terengganu sebelum hari penamaan calon bagi memudahkan proses penamaan calon.

Katanya bakal calon juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar.

Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus mesti dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di PPC.

SPR dalam pada itu turut menawarkan kepada mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat menjadi pemerhati pilihan raya dalam melihat perjalanan proses PRK tersebut bermula dari hari penamaan calon hingga keputusan pilihan raya diumumkan.

“Pemerhati dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat pelantìkan yang telah ditetapkan,” katanya.

Maklumat lanjut dan borang permohonan untuk pemerhati boleh diperoleh daripada portal rasmi SPR di www.spr.gov.my bermula hari ini dan tarikh tutup permohonan pada 26 Okt ini.

Berita berkaitan
Samsuri tak tolak anjur solat hajat berhubung tuntutan wang royalti
November 29, 2023· Politik
Kementerian nafi SKMM digunakan untuk sekat kebebasan media
November 27, 2023· Isu semasa
Sesi perbahasan kecoh selepas Ahli Parlimen pertikai tiada menteri dalam dewan
November 27, 2023· Politik
MOF tak benarkan pengeluaran KWSP bersasar kerana jejas simpanan persaraan
November 24, 2023· Isu semasa
Popular
Dua kem UMNO berbeza di Sabah, kumpulan pro Hajiji dan Bung Moktar
November 29, 2023
Isu pertalian dengan komunis, tiga pemimpin DAP saman MP Kepala Batas
November 29, 2023
Wahab sudah sahkan identiti ‘Mr H’ didakwa dalang rakaman tular
November 29, 2023
Samsuri tak tolak anjur solat hajat berhubung tuntutan wang royalti
November 29, 2023
Lagi Politik terkini
Identiti ‘Mr H’ rahsia dan tidak akan didedah, kata KPN
6 jam lalu · Politik
Isu pertalian dengan komunis, tiga pemimpin DAP saman MP Kepala Batas
November 29, 2023 · Politik
Wahab sudah sahkan identiti ‘Mr H’ didakwa dalang rakaman tular
November 29, 2023 · Politik
Dua kem UMNO berbeza di Sabah, kumpulan pro Hajiji dan Bung Moktar
November 29, 2023 · Politik
Imbuhan penjawat awam negeri diumum selepas PRK Kemaman: Ahmad Samsuri
November 27, 2023 · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Ucapan Ir Khairil di ceramah PAS Gong Limau
15 minit lalu
[VIDEO] ‘Permainan’ pegawai politik punca kerajaan 22 bulan tumbang
3 jam lalu

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok