
Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Tidak ada Ahli Dewan Negara (Senator) dari Bersatu yang akan memboikot Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti esok, kata Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) menafikan spekulasi tersebut yang disifatkan sengaja direka pihak tertentu yang mahu melaga-lagakan antara satu sama lain dan yakin RUU tersebut akan dapat diluluskan di Dewan Negara esok.
“Saya tak dengar cerita (boikot) itu. Pegawai saya pun tiada maklumkan. Kenyataan dari (Datuk Seri) Dr Ronald Kiandee semalam sebagai Naib presiden BERSATU tidak ada ‘indication’ (petunjuk) bahawa parti itu akan tarik sokongan kepada Perdana Menteri. Salah satu dari agenda kerajaan sekarang adalah agenda (kelulusan RUU) ini.
“Agenda ini bukan untuk kerajaan yang ada sekarang saja, tapi keseluruhan politik Malaysia. Jadi untuk kebaikan bersama. Jadi, saya ingat cerita ini dibuat-buat orang. Orang mahu melaga-lagakan antara satu dengan lain.
“Perkara ini sengaja direncanakan supaya mendatangkan keadaan resah dalam kalangan kerajaan dan pihak Bersatu,” katanya dipetik laporan BH.
Sebuah portal berita sebelum ini mendakwa Senator daripada BERSATU mahu memboikot RUU berkenaan di Dewan Negara esok.
RUU berkenaan diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen pada 28 Julai lalu, dan kini dalam proses kelulusan bagi Dewan Negara sebelum proses pewartaan undang-undang dapat dilaksanakan.
Wan Junaidi berkata, RUU itu akan dibentangkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual pada jam 11 pagi esok selepas selesai sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.
“Selepas itu ia akan terbuka untuk dibahas. Pada jam 3.30 petang saya akan menggulung, iaitu dalam satu hari yang sama,” katanya.
Beliau turut berharap perjalanan pembentangan RUU itu esok akan lancar.
“Saya memang berharap perjalanan esok, tidak kisah parti mana dan siapa. Sebab ini bukan soal parti, ini soal negara. Prasarana undang-undang negara (RUU) ini sudah pun dipersetujui oleh ramai wakil rakyat.
“Sokongan diterima dari semua. Jadi, saya cukup yakin, semua (ahli Dewan Negara) akan menerima hakikat dan semangat yang sama. Harapan saya RUU ini tidak ada halangannya,” katanya.
RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan selepas bacaan kali ketiga dengan sokongan majoriti melebihi dua pertiga ahli Dewan Rakyat, iaitu 209 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir.