
Terdapat desakan supaya Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan PRU-15 dijalankan dengan lebih awal.
Susulan penularan satu emel yang diterima dikalangan Ahli Parlimen (MP) termasuk kerajaan dan pembangkang menyebabkan spekulasi kuat mengatakan berkemungkinan tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) semakin dekat.
Beberapa MP dikatakan ada menerima emel yang memaklumkan berhubung penamatan pembayaran faedah, kebiasaannya ia akan diterima apabila Parlimen bakal dibubarkan bagi memberi laluan PRU diadakan.
Emel tersebut yang diterima daripada Pejabat Parlimen Malaysia meminta supaya mereka mengemaskini maklumat Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen (APAD) yang akan terlibat dengan pembubaran Parlimen – salah satu tanda PRU akan diadakan.
Memetik laporan Utusan, MP parti Warisan memberitahu ada menerima emel tersebut dan menjelaskan ia biasanya dikaitkan dengan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat kerana ia tidak dihantar setiap tahun.
Malah, semasa PRU-14 lalu emel sama juga diterimanya dan disusuli dengan pembubaran Parlimen sebulan kemudiaan.
“Pejabat Parlimen tidak meminta kemas kini setiap tahun, hanya apabila pembubaran Parlimen hampir dekat. Sebelum ini pun kami menerima emel dan tidak lama selepas itu Parlimen pun dibubarkan,” katanya dipetik laporan portal itu.
Hasil semakan mendapati portal itu jgua mendapati emel tersebut dihantar kepada semua ahli Dewan Rakyat, menyatakan bahawa Parlimen Malaysia dengan kerjasama Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengemas kini maklumat fail peribadi APAD.
Ahli-ahli Dewan Rakyat diberitahu, mereka diminta melengkapkan tiga borang iaitu Maklumat Penamatan Perkhidmatan (Anggota Pentadbiran/Ahli Parlimen/Setiausaha Politik), Permohonan Pelantikan Wakil Skim A dan Borang Pertukaran Akaun Bank serta beberapa salinan dokumen sokongan.
Surat itu menyatakan, kesemua dokumen perlu dikemukakan selewat-lewatnya pada atau 10 Jun ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dari UMNO ketika diminta menjelaskan maksud emel tersebut bagaimanapun menafikan Parlimen dibubarkan hanya disebabkan penghantaran emel berkenaan.
“Tidak, kita hanya mengembalikan semula kebebasan Parlimen ke pentadbirannya sendiri. Tidak berkait dengan pembubaran Parlimen,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa Konvensyen Barisan Nasional (BN) berkata tidak akan melambatkan PRU-15 diadakan walau sesaat apabila tiba masanya nanti.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut bertentangan dengan pendiriannya semasa di Tokyo yang berkata kerajaan perlu menangani isu inflasi terlebih dahulu yang lebih penting kerana menghimpit rakyat.
Namun, pemimpin utama UMNO semasa Konvensyen BN khususnya kumpulan Kluster Mahkamah berterusan memberi desakan kepada Ismail Sabri supaya segera membubarkan Parlimen kerana parti itu nampaknya sudah bersedia untuk menang besar semula.